Thursday, April 8, 2010

Jumlah perokok wanita membimbangkan



KUALA LUMPUR 7 April - Kerajaan bimbang dengan peningkatan perokok di kalangan wanita sejak kebelakangan ini yang berpunca daripada pelbagai sebab.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara puncanya adalah kepercayaan di kalangan wanita berkenaan bahawa tabiat merokok boleh membantu mereka untuk menguruskan badan.
''Mengikut kajian yang kita buat memang kebelakangan ini bilangan perokok di kalangan wanita meningkat dan ini satu trend membimbangkan.
''Tanggapan menyatakan bahawa merokok ini dapat menguruskan badan adalah tidak berasas," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Tiong Lai, wanita terbabit seharusnya merujuk kepada klinik atau hospital kerajaan bagi mendapatkan bimbingan kaunseling lebih tepat mengenai kesan tabiat itu kepada kesihatan.
Menjawab soalan asal Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai langkah mengatasi kegemukan melampau atau obes yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit, katanya, jururawat dan penolong pegawai perubatan telah diberikan kuasa untuk memberikan perkhidmatan kaunseling pemakanan dan aktiviti fizikal kepada orang ramai.
''Kita tidak lagi mengehadkan aktiviti memberi kaunseling kepada pegawai perubatan sahaja seperti sebelum ini bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurangan berat badan di klinik kesihatan kerajaan," katanya.
Tambah beliau, langkah lain melibatkan penempatan 172 pakar perubatan keluarga di 151 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
''Ini bagi membolehkan individu obes yang turut mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung mendapatkan rawatan pakar dengan mudah," katanya.

No comments:

Post a Comment