Friday, August 13, 2010

Berhenti merokok setelah diserang sakit jantung



KOTA BHARU 12 Ogos - Langkah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melesenkan setiap peniaga yang menjual produk berasaskan kenaf dan tembakau termasuk rokok disambut baik oleh semua pihak.
Ini kerana semua orang tahu kesan buruk yang dialami oleh perokok, terutamanya perokok tegar.
Di pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurang atau menghentikan terus tabiat merokok di kalangan orang ramai khususnya remaja termasuk mempamerkan gambar kesan-kesan buruk akibat tabiat itu di kotak-kotak rokok.
Namun, pelbagai alasan digunakan oleh golongan itu terutama perokok tegar untuk tidak menghentikan tabiat tersebut walaupun sedar ia boleh menjejaskan kesihatan.
Kedatangan bulan Ramadan ini mungkin boleh dijadikan sebagai 'batu loncatan' oleh perokok untuk menghentikan tabiat tersebut kerana ia sebenarnya boleh meningkatkan kualiti hidup mereka.
Mungkin pengalaman Mohd. Nor Jusoh, 48, yang menjadi perokok tegar selama 32 tahun sejak berusia 16 tahun lagi boleh dijadikan iktibar oleh golongan tersebut untuk mempercepatkan lagi proses berhenti merokok.
Mohd. Nor diserang sakit jantung dan kini terpaksa melalui saat-saat sukar untuk menjalani pembedahan jantung.
Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pulai Chondong itu mengakui ketika menjadi perokok tegar dia secara rutin menghisap 50 batang rokok sehari dan sanggup menghabiskan separuh daripada gajinya untuk tujuan itu setiap bulan.
Bagaimanapun, dia menyedut rokok terakhirnya pada pukul 6 petang, 22 Julai tahun lalu sebelum dikejarkan ke hospital setelah mengalami serangan jantung buat kali pertama dalam hidupnya.
"Akibat serangan itu, saya terlantar di hospital selama empat hari. Itulah rokok terakhir dan saya tidak pernah merokok lagi sehingga ke saat ini.
"Saya sebenarnya sudah terlambat tetapi itu adalah lebih baik daripada terus menghisap rokok yang tiada faedah sedikit pun," katanya yang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 19 September depan.
Mohd. Nor berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dengan peserta program 'Bengkel Nafas Baru' anjuran Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (Famous) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini baru-baru ini.
Program itu dirasmikan oleh Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar. Turut hadir Pengerusi Famous merangkap Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Harmy Mohamed Yusoff.
Mohd. Nor berkata, perasaan ketagih dan gundah pada peringkat permulaan terutama pada dua minggu pertama meninggalkan tabiat itu adalah lumrah yang akan dirasai oleh setiap perokok tetapi mereka mesti bersabar menghadapinya.
"Rasa bingung sangat terutama pada bulan Ramadan selepas berbuka, tidak tahu hendak buat apa sesudah makan, tapi kita kena sabar. Lama-kelamaan kita akan lupa dan boleh mengawalnya.
"Apa yang perlu kita fikirkan adalah keluarga yang akan merana jika berlaku sesuatu ke atas kita," katanya yang mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya suri rumah.
Seorang lagi bekas perokok tegar yang berkongsi pengalaman, Nor Shal Nordin, 66, berkata, dia menghisap rokok sejak zaman rokok dijual pada harga lima sen untuk dua batang sehingga pada harga 50 sen sebatang, sebelum berhenti dua tahun lalu.
Datuk kepada 12 orang cucu itu berkata, keperitan mengingatkan beban kewangan akibat merokok terutama setelah bersara sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu 11 tahun lalu menjadi salah satu punca mendorongnya untuk berubah.
"Saya berhabis antara RM200 hingga RM300 sebulan untuk rokok. Bila berhenti merokok, bukan bermaksud saya jadi kaya tetapi apa yang saya dapat adalah kesihatan dan keadaan fizikal diri yang lebih baik.
"Saya menyeru kepada semua ibu bapa jika kita tidak mahu anak-anak remaja kita merokok, maka kita sendiri terlebih dahulu mesti tunjukkan teladan untuk berhenti," katanya yang mendapat bantuan dan kaunseling dari Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Klinik Kesihatan Keluarga HUSM.
Sementara itu, Dr. Harmy berkata, ibadah puasa pada bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik bagi perokok untuk berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya.
"Selepas berbuka, kita kena cuba sedaya-upaya elakkan daripada menyedut rokok, sama ada kita elakkan duduk bersama orang yang merokok atau pergi melakukan aktiviti-aktiviti lain.
"Tidak mengapa jika usaha kali pertama tidak menjadi dan kita tertewas dengan godaan orang di sekeliling, tetapi kita mesti terus berusaha berulang-kali sehingga berjaya.
"Dapatkan sokongan daripada klinik berhenti merokok yang ada di hospital terdekat untuk mengetahui cara-cara dan kaedah yang boleh membantu kita menghilangkan ketagih," katanya.

No comments:

Post a Comment