ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun. |
JAKARTA: Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.
Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.
Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.
Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.
Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.
Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.
Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.
“Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.
“Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok,” kata lelaki itu.
Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.
Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.
Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. “Dia akan lemah dan mula menangis,” kata wanita itu.
Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.
Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.
Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.
Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.
Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.
“Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula,” kata ibunya.
Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.
Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi
No comments:
Post a Comment