Friday, March 11, 2011

13 maut rakyat Islam, Kristian Mesir bertempur

Utusan Malaysia


KAHERAH 10 Mac - Pertempuran maut antara masyarakat Kristian Qibti dengan penganut Islam malam kelmarin di bandar ini yang meragut 13 nyawa, memburukkan lagi ketegangan kaum dan meningkatkan kebimbangan di kalangan penduduk Kristian tentang kedudukan mereka di Mesir.
Keganasan itu tercetus semasa satu bantahan berlangsung di kawasan miskin Manshiyet Nasr, lokasi kebanyakan masyarakat Kristian bekerja sebagai pengutip sampah.
Kira-kira 100 penganut Kristian menyekat sebatang jalan raya bagi menuntut kerajaan membina semula sebuah gereja di luar Kaherah yang dimusnahkan penganut Islam Jumaat lalu.
Mereka dilapor marah dengan hubungan percintaan terlarang melibatkan seorang lelaki Kristian dengan wanita Islam yang kemudian berubah menjadi pertelingkahan antara keluarga.
Seorang penganut Kristian, Ashraf Ramzy yang mengalami kecederaan di kepala selepas pertempuran itu menyifatkan kejadian itu sebagai menakutkan kerana tentera tidak campur tangan.
"Penganut Islam berdiri di belakang tentera dan melaungkan 'tentera dan rakyat adalah satu', yang juga slogan yang biasa didengar semasa revolusi Mesir.
"Adakah itu bermaksud kami bukan rakyat negara ini?," kata Ramzy.
Seorang lagi penganut Kristian, Mina Magdy berkata, keadaan kini menjadi semakin buruk selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan kerana tentera dikatakan tidak berbuat apa-apa untuk melindungi masyarakat Kristian.
"Lihatlah apa yang berlaku kepada kami. Mubarak memang teruk, tetapi situasi kini semakin tegang," katanya.
Tambahnya, penduduk di kejiranan Kristian juga tidak berani keluar dari rumah semalam kerana bimbang serangan sama akan berulang. - Agensi

No comments:

Post a Comment