Tuesday, April 26, 2011

Thai mahu runding


PHANOM DONG RAK (Thailand): Tentera Thai dan Kemboja bertempur lagi semalam, hari keempat berturut-turut yang menyaksikan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan menyebabkan hampir 50,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Bunyi tembakan dan letupan kedengaran di kawasan berhampiran dua kuil Hindu abad ke-12 di sempadan kedua-dua negara. Dalam pada itu, Thailand menggesa supaya kerajaan Kemboja berunding secara bersemuka dengannya dalam menyelesaikan perbalahan bersenjata itu.

Gesaan itu dibuat selepas Menteri Luar Indonesia yang juga Pengerusi Asean Marty Natalegawa, membatalkan lawatan ke kedua-dua negara. Marty sebelum ini menjadi orang tengah dalam mendamaikan kedua-dua pihak pada 22 Februari lalu dengan cadangan menghantar pemerhati tentera Indonesia ke kawasan sempadan kedua-dua negara.

Thailand menolak kehadiran pemerhati antarabangsa tetapi Menteri Luarnya, Kasit Piromnya semalam membayangkan ia mungkin mengubah pendirian.

Pertempuran berhampiran dua kuil itu menyusuli pertempuran empat hari Februari lalu yang menyebabkan 11 orang terbunuh berhampiran Preah Vihear, kira-kira 150 kilometer ke timur.

Pertempuran terbaru tertumpu di kawasan berhampiran Kuil Ta Moan and Ta Krabey, berdekatan kawasan hutan yang penuh dengan periuk api dan dituntut oleh kedua-dua negara. Kementerian Pertahanan Kemboja berkata semalam, pengeboman tentera Thai menyebabkan kuil terbabit rosak. Kira-kira 17,000 penduduk di sebelah sempadan Kemboja dipindahkan sementara sebuah sekolah dan 10 rumah musnah.


Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, beberapa warga Thai ditahan atas dakwaan mengintip. - AP

No comments:

Post a Comment