Tuesday, August 2, 2011

Pertempuran akibat pilihan raya di Papua, empat lagi maut



JAYAPURA 1 Ogos - Empat maut sementara lima yang lain cedera parah apabila satu lagi pertempuran berkaitan pilihan raya berlaku di sini hari ini, menjadikan jumlah angka korban akibat pertempuran sama di daerah ini meningkat kepada 21 orang dalam tempoh dua hari.
Insiden terbaru itu berlaku di kampung Nafri, apabila sekumpulan penyerang menghalang laluan beberapa kenderaan di tempat kejadian sebelum menyerang pemandu dan penumpangnya dengan kapak, senapang dan parang.
Dua penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda ditetak hingga mati, sementara seorang lagi yang maut merupakan penumpang sebuah teksi.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai anggota tentera, Prebet Dominikus Kerap.
Penyerang dilapor turut menyerang hendap sebuah pengangkutan awam menyebabkan sekurang-kurangnya lima cedera parah terkena tembakan dan semua mangsa kini dirawat di Hospital Abepura.
Jurucakap polis Papua, Wachyono berkata, pihaknya masih menjalankan penyiasatan di lokasi kejadian.
Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, manakala beberapa orang lagi cedera dalam pertempuran antara dua kumpulan penyokong ahli politik di sini, semalam.
Jelas Wachyono, perusuh yang bersenjatakan anak panah dan getah mentah bertempur di luar bangunan majlis tempatan di daerah Puncak.
Media tempatan melaporkan, pertembungan tercetus apabila suruhanjaya pilihan raya tempatan enggan mendaftar calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijadual diadakan pada November ini bagi jawatan ketua daerah. - AFP/dpa
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment