Thursday, December 2, 2010

Cari adik terpisah sejak 12 tahun


 


BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki dari Taman Sri Nibong, Pulau Pinang mencari adik kandungnya yang terpisah sejak 12 tahun lalu.

Lew Kok Chow,65, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adik bongsunya, Lew Kok Khoon, 59, adalah pada 1998 lalu ketika mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, sejak pulang dari percutian itu mereka tidak lagi berhubung berikutan masing-masing sibuk dengan pekerjaan.

“Baru-baru ini, saya teringat akan adik saya dan cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya tetapi gagal kerana nombor itu sudah tidak aktif.

“Saya ada juga menghubungi nombor telefon bimbit isterinya, juga tidak aktif. Saya pernah pergi ke alamat tempat lahir anaknya di Perai, tetapi tidak juga menjumpainya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, di sini, semalam.

Kok Chow berkata, dia kemudiannya pergi ke Telekom Malaysia Berhad (TM) dan juga syarikat rangkaian telefon mudah alih Maxis dengan harapan dapat mencari maklumat mengenai di mana adiknya tinggal mahupun nombor telefon terkini mereka, namun malangnya alamat dan nombor telefon yang diberikan tidak lagi digunakan.

Katanya, tiga minggu lalu dia ke Kuala Lumpur mencari adiknya di alamat terakhir di Taman Desa Bakti Batu Caves, tetapi, malang sekali lagi apabila jiran mengatakan Kok Khoon sekeluarga berpindah dari rumah itu tiga tahun lalu.

Tambahnya, pelbagai cara digunakan termasuk membuat iklan mencari adiknya dalam surat khabar berbahasa Cina, tetapi hingga kini masih belum membuahkan sebarang hasil.

Justeru, dia berharap agar adiknya dapat dipertemukan semula dengannya kerana dia amat merindui adiknya.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Kok Chow di talian 016-4431319 atau Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Mertajam, Goh Swee Gim, 016-4811899 atau Ketua Pusat Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, Tang Song Hooi di talian 019-4450915.

No comments:

Post a Comment