Saturday, October 4, 2014

Wukuf hari penghulu


Beliau yang mengunjungi khemah lelaki dan perempuan memberikan kata semangat yang hampir sama dengan mengambil kira kehadiran Nabi Muhammad SAW yang wukuf bersama sahabat dan umatnya lebih 100,000 orang di bumi yang penuh barakah ini kira-kira 1,400 tahun lalu. 
Menurutnya, jemaah haji sesungguhnya bersyukur kerana berada pada penghulu hari selain hari Arafah yang juga pada masa sama ganjaran fadilat yang diperoleh cukup besar daripada Allah SWT. 

“Saya meminta semua jemaah haji menggunakan kesempatan ini memperbanyakkan bertasbih, membaca al-Quran, terus berzikir dan berdoa kepada Allah SWT.
Foto
JAMIL Khir memberikan ucapan di khemah jemaah haji Malaysia yang dkunjungi, semalam.

“Penuhi tempoh mustajab berdoa selepas tergelincir matahari 9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijah, ” katanya kepada petugas media selepas melawat khemah jemaah haji Malaysia di Arafah, dekat sini, semalam.

Turut serta, Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail dan Ketua Rombongan Haji Musim 1435 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, persediaan dilakukan TH membolehkan jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan yang membolehkan mereka bermunajat kepada Allah SWT.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Rawat pakai rotan


Moscow: Seorang doktor menemui cara rawatan yang ganjil untuk membantu penagih merotan mereka.

Pesakit yang termasuk penagih seks dan ketagih bekerja, kini boleh menemui kaunselor untuk disebat dengan rotan sebanyak 60 kali.


Kini, terapi aneh itu diisytiharkan sebagai pencapaian baru dalam rawatan psikologi oleh pakar selepas satu cubaan merawat menggunakan teknik itu dilakukan di Siberia, Russia.



Dalam satu temu janji, pesakit akan dirotan sebelum sesi konvensional bercakap dan meluahkan perasaan mereka.


Rawatan itu diasaskan oleh Pengarah Pengajian Biologi di Institut Perubatan Novosibirsk, Dr Sergei Speransky, yang mengaku pernah dirotan bagi mengatasi tekanan dihadapinya.


“Pesakit berpendapat rawatan itu berjaya memulihkan mereka selepas rawatan lain gagal. Saya juga berjaya mengatasi masalah yang dihadapi sebelum ini. Saya bukanlah kejam tetapi saya mengesyorkan ia cara terbaik untuk merawat ketagihan,” katanya kepada akhbar The Siberian Times..

Teori yang diasaskannya itu kini diteruskan oleh pakar psikologi, Dr German Pilipenko dan Profesor Marina Chukhrova yang mendakwa sudah merawat lebih 1,000 pesakit.


Pasangan itu mendakwa hampir semua pesakit yang mereka rawat berjaya mengatasi ketagihan masing-masing.

“Kami merotan pesakit pada punggung dengan tujuan perubatan semata-mata,” katanya.


Untuk satu sesi rawatan, pesakit dikenakan 3,000 rouble (RM275).


Mereka perlu menjalani rawatan rotan itu dua kali seminggu selama tiga bulan dan rawatan susulan setiap empat minggu pada tahun berikutnya.


Pesakit terdiri daripada lelaki dan wanita yang berusia antara 17 dan 70 tahun.


Penagih tegar, termasuk penagih heroin, biasanya dirotan 60 kali sementara kaki botol dan penagih lain, 30 kali.


Dahan pokok biasanya digunakan untuk tujuan itu kerana ia mudah lentur dan tidak menyebabkan berdarah.


Pesakit akan menjalani elektrokardiogram terlebih dulu untuk memastikan sebatan itu tidak akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.


Menurut kedua-dua pakar perubatan itu, beberapa pelanggan mereka terdiri daripada selebriti dan warga asing sudah mula datang ke Siberia untuk menjalani rawatan itu.


Rawatan itu mungkin dilihat kejam tetapi kedua-dua pakar itu menegaskan, ia bukan hukuman untuk memalukan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Rakyat Singapura ketagih Internet


Singapura: Penduduk republik ini menghabiskan lebih banyak masa di Internet berbanding rakyat negara lain, kecuali India.

Kajian yang dijalankan oleh Tata Communications juga mendapati, lebih 52 peratus penduduk Singapura tidak boleh bertahan sehingga 12 jam tanpa akses Internet, tempat kedua di belakang rakyat India (54 peratus).


Syarikat yang berpejabat di New Delhi itu mewawancara 9,417 responden di India, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis dalam kajian yang dilakukan secara online.



Responden ditanya 14 soalan yang bertujuan menganalisis emosi orang ramai terhadap Internet.


Sebanyak 43 peratus rakyat Singapura berkata, mereka menghabiskan masa lebih enam jam melayarai laman web, lebih tinggi berbanding purata dunia, 29 peratus.


Dan purata penduduk republik itu hanya boleh bertahan 7.3 jam tanpa Internet. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Saya bukan Father Augustus Chen - Man Hin

LIM Kit Siang (kanan) menemani Chen Man Hin (kiri) yang hadir ke Mahkamah Tinggi untuk memberi kenyataan kes saman terhadap UMMB di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin menyatakan, beliau bukanlah Father Augustus Chen dan tidak pernah membaca buku kecil yang didakwa ditulis oleh Father Augustus Chen berjudul Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC).
Pengamal perubatan berusia 90 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menganggotai DAP sejak 1965 sebelum Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyertai parti tersebut.
Beliau yang merupakan kenalan rapat Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan yang menyatakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berada dalam kawalan Kit Siang selain mendakwa, kandungan buku tersebut tidak betul.
Man Hin memberi keterangan selaku saksi bagi pihak Kit Siang dalam perbicaraan kes saman fitnah ahli politik itu terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) pada prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan keterangan wartawan Utusan Malaysia, Kasthuri Jeevendran, penulis artikel bertajuk Kit Siang manipulasi pemilihan CEC? pada 17 Ogos tahun lalu.
Peguam Mohd. Izral Khairy mewakili UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan ketika menyoal balas Man Hin menganggap keterangan yang diberikan saksi terbabit mempunyai unsur berat sebelah yang nyata dan memihak kepada Kit Siang.
Bagaimanapun Man Hin menafikannya sebaliknya berkata, beliau menyatakan perkara yang benar semata-mata.
Hakim Datuk Yeoh Wee Siam kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Kit Siang memfailkan hujahan dan UMMB memfailkan hujahan balas pada 11 November sebelum mahkamah membuat keputusan pada 10 Disember ini.
Dalam saman yang difailkan pada 19 September 2013, Kit Siang mendakwa, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah untuk mencemarkan reputasi dan karier politiknya.
Oleh itu, Kit Siang menuntut satu jumlah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_05/Saya-bukan-Father-Augustus-Chen---Man-Hin#ixzz3F7dsXPxn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22,311 jemaah haji berada di Arafah


MAKKAH 4 Okt. - Sebanyak 22,311 daripada keseluruhan 22,320 jemaah haji Malaysia berada di sini untuk berwukuf pada Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan seorang lagi jemaah lelaki Malaysia meninggal dunia semalam kerana kanser hati pada 1.15 tengah hari, setelah masuk waktu wukuf.
Dengan ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal di Tanah Suci tujuh orang.
Dua jemaah haji Malaysia yang koma di hospital Arab Saudi tidak dapat dibawa ke Arafah untuk berwukuf.
"Tiga lagi jemaah dibawa ke Arafah menaiki ambulans," kata Jamil Khir kepada media Malaysia selepas menyampaikan kutbah Arafah di sini tengah hari semalam, sebaik masuk waktu wukuf. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_12/22311-jemaah-haji-berada-di-Arafah#ixzz3FDT6gTDZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Keluarga pesakit Ebola AS dikuarantin di rumah



AFP - SUKARELAWAN Palang Merah menghantar selimut dan bekalan lain ke sebuah apartmen di mana seorang wanita dan keluarganya dikuarantin di Dallas, Texas.


DALLAS – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengkuarantin sebuah keluarga seorang lelaki yang dijangkiti virus Ebola di apartmen milik mereka di sini dengan kawalan ketat oleh pengawal bersenjata.
Wanita berkenaan, Louise Troh kelmarin berkata, dia tidak pernah terfikir perkara itu akan berlaku kepadanya kerana rantau Afrika Barat yang kini dilanda wabak demam Ebola terletak jauh dari AS.
“Saya bosan dikurung sebegini dan mahu pihak berkuasa persekutuan melakukan kerja-kerja nyah kuman di kediaman saya,” kata Troh.
Pihak berkuasa memberitahu, bilangan penduduk di AS yang mungkin terdedah kepada virus Ebola semakin meluas ekoran lelaki itu, Thomas Eric Duncan diarah pulang setelah mengunjungi sebuah hospital di Texas kerana demam.
Perintah pengasingan itu dilaksanakan selepas wanita itu dan keluarganya gagal mematuhi permintaan pihak berkuasa untuk berada di rumah, menurut Hakim Daerah Dallas, Clay Jenkins.
Pesuruh Jaya Kesihatan Negeri Texas, David Lakey berkata, perintah tersebut akan memastikan Tro, anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan dua anak saudaranya dapat dipantau rapi jika terdapat tanda-tanda Ebola.
Lelaki tersebut merupakan kes jangkitan pertama Ebola di AS.
Ia mencetuskan kebimbangan sama ada wabak itu yang membunuh lebih 3,300 orang di Afrika Barat setakat ini mungkin menular di AS.
Keluarga tersebut akan dipindahkan untuk kerja membersihkan apartmen tersebut daripada kuman Ebola, kata jurucakap majlis bandar raya ini Richard Hill.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Texas menggandakan usaha untuk mengekang penularan virus tersebut dan setakat ini pihak berkuasa mengawasi sejumlah 100 orang yang mungkin berhubung secara langsung dengan Duncan atau orang yang rapat dengannya.
Sementara itu, seorang jurugambar bebas warganegara AS yang bekerja untuk agensi NBC News turut disahkan dijangkiti virus Ebola dan diterbangkan pulang untuk rawatan lanjut.
NBC enggan mendedahkan identiti jurugambar berusia 33 tahun itu yang sebelum ini bertugas membuat liputan mengenai wabak maut berkenaan di Liberia dan berada di negara tersebut sejak tiga tahun lalu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3F7btaZuH 
Hakcipta terpelihara 

Alvin tidak biarkan Vivian keseorangan - Pendakwa


ALVIN Tan dan Vivian Lee.
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pihak pendakwaan kes pasangan blog kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee percaya lelaki itu akan pulang ke Malaysia kerana dia tidak akan membiarkan teman wanitanya berseorangan menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang memberitahu perkara itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini turut berkata, Alvin yang melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan itu, telah menunjukkan bahawa dia seorang yang berani apabila bercakap mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah negara ini.
Justeru, kata beliau, dengan keberaniannya itu sudah pasti tertuduh tidak akan membiarkan Vivian berseorangan menghadapi pertuduhan berkenaan.
“Kalau dia berani, dia akan balik, tidak mungkin dia hendak berseronok melihat teman wanitanya dibicarakan seorang diri, saya percaya dia akan pulang," katanya semasa sebutan kes waran tangkap terhadap Alvin di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin juga berkata, waran tangkap terhadap lelaki itu berkemungkinan tidak dapat diserahkan kerana dia masih gagal dikesan dan ini merupakan kali keempat dia gagal hadir untuk kes tersebut.
Namun, beliau yakin pihak polis sedang berusaha untuk mengesan Alvin mengikut prosedur mereka.
Pada prosiding kes itu, Vivian yang diwakili peguam, Nur Adilah Kamar Zaman tidak hadir kerana telah diberi pengecualian namun Abdul Rashid memerintahkan wanita itu hadir bagi sebutan semula kes tersebut yang ditetapkan pada 28 November ini.
Pasangan itu menghadapi tuduhan bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook berhubung kandungan gambar dan komen yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Pertuduhan di bawah subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di Kuala Lumpur pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai 2013.
Mereka juga menghadapi pertuduhan mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 iaitu mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ antara pukul 9 malam, 6 Julai 2013 dan 2 pagi, 7 Julai 2013 di alamat yang sama di Kompleks Mutiara.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, sebelum ini dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan semula pasport miliknya kepada mahkamah.
Sebelum itu, pada 12 Mei lalu, mahkamah membenarkan pasport Alvin dan Vivian atau nama sebenarnya, Lee May Ling, 25, yang disimpan di mahkamah sebagai syarat jaminan, diserahkan sementara kepada mereka berdua dari 18 Mei sehingga 3 Jun lalu untuk mereka pergi ke Singapura bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari.
Namun hanya Vivian mengembalikan pasportnya kepada mahkamah pada 3 Jun lalu.
Alvin yang mendakwa kini berada di Amerika Syarikat (AS) sedang diburu oleh pihak polis negara ini termasuk dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membolehkan dia diekstradisi ke negara ini.
Lelaki itu yang cuba mendapat suaka politik di negara berkenaan semakin biadab apabila memuat naik status dan gambar dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini yang dilihat cuba memalukan dan menghina pemimpin negara ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_02/Alvin-tidak-biarkan-Vivian-keseorangan---Pendakwa#ixzz3F7bjk5TC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jom kita semua lawan kenaikan harga pterol ?

Idea atau cadangan ni memang lama dah,, tetapi belum dipraktikkan oleh semua penggunaan kenderaan berenjin, aku sendiri dah lebih 20 tahun tak beli minyak ni.. Lantaklah, nak kata patriotik atau pun tidak,,




Tolong baca sampai habis*.buah fikiran yg sangat baik*.mari kita renung
dan fikir fikirkan*kemudian kita lakukan.


Idea daripada orang-orang yang kerja kat PETRONAS - price control

Idea yang sangat menarik? Tapi adakah ianya berkesan?
Nampaknya menjelang tahun depan harga petrol akan menghampiri RM 3.00.
Mahu supaya harga petrol turun? Kita perlukan satu tindakan bijak dan
bersepadu.

Philip Hollsworth menawarkan idea bagus ini. Ianya LEBIH BERKESAN
berbanding kempen jangan beli petrol pada hari tertentu' yang
dilakukan pada April atau Mei lalu. Syarikat minyak hanya akan
mentertawakan seba b merekatahu dengan tidak membeli petrol, kita akan
menyusahkan diri sendiri. Ia lebih menyusahkan pengguna sendiri
berbanding penjual.

Tapi, tak kiralah dari siapa idea ini yang mencadangkan pelan yang
benar-benar berkesan.Sila teruskan membaca dan ambillah bahagian
dalam rancangan ini.

Mengikut kenyataan dari negara-negara pengeluar minyak anggota OPEC
harga seliter petrol adalah semurah 89 hingga 95 sen sahaja. Tetapi
syarikat-syarikat pembekal minyaklah yang mengaut keuntungan besar
dari situasi sekarang ini.
Kita sebagai pengguna perlukan tindakan agresif untuk 'mengajar'
mereka bahawa PEMBELI juga ada kuasa untuk yang mengawal harga, bukan
penjual sahaja.

Dengan harga petrol yang naik begitu tinggi sekarang ini, kita
pengguna perlu bertindak segera. Satu cara yang disarankan untuk
menurunkan harga petrol ialah dengan memberikan tamparan 'market
leader' industri berkenaan, iaitu dengan tidak membeli petrol dari
penjual tertentu. Ini dapat kita lakukan tanpa menyusahkan diri kita
sendiri.
Ideanya begini :-

Untuk sepanjang tahun ini, JANGAN beli petrol dari PETRONAS

Syarikat gergasi inilah yang sebenarnya mengawal harga runcit
petrol dan mengaut keuntungan untuk diri mereka sendiri.
Jika mereka tidak merasa penjualan petrol mereka menurun secara
tiba-tiba sedangkan pesaing mereka akan terus maju, mereka akan mula
menurunkan harga. Dan jika mereka berbuat demikian yang lain akan
turut serta. Tetapi, untuk kaedah ini memberi kesan, kita kena
memberitahu berjuta pembeli PETRONAS

Ia sangat mudah dilakukan. Saya akan terangkan disini caranya:-
Saya menghantar mesej ini kepada ramai orang.Jika setiap kita
menghantar kepada sekurang2nya 10 orang atau lebih (30 x 10 = 300)?
Dan 300 orang ini hantar kepada sekurang2nya 10 orang atau lebih (300
x 10 = 3,000)? dan seterusnya. Sebaik mesej ini sampai kepada generasi
penerima yang ke 6, ia sebenarnya telah disebarkan kepada lebih TIGA
JUTA pengguna petrol. Sekali lagi, apa yang perlu anda lakukan ialah :
1) Menghantar mesej ini kepada 10 orang atau lebih, itu saja.
2) Berhenti dengan serta merta membeli petrol dari PETRONAS
Itu sahaja.....
Berapa lama ia akan berlaku? Jika setiap kita menghantar email kepada
10 orang dalam satu hari, semua 3 JUTA orang akan dapat dihubungi
dalam masa 8 hari sahaja.

Saya cabar anda, jangan sangka anda tiada kuasa, bertindak secara
bersama. Ia pasti akan membuahkan hasil.
Jika anda terima sar ana n ini, sila sebarkan email ini.
TOLONG KEKALKAN KOMITMEN ANDA SEHINGGA MEREKA TURUNKAN HARGA DALAM
LINGKUNGAN 80 SEN SELITER.
Mudah saja, anda cuma perlu....... ......

1. Forwardkan email ini kepada kawan-kawan dan kenalan,
2. Beli petrol dari SHELL ,k ESSO sahaja .....jauhi diri anda
dari stesyen petrol PETRONAS

kalau McD umat islam boleh ramai-ramai pakat mogok, mari kita cuba pada stesyen minyak petronas, tengok apa akan jadi ... Cuba dulu.... Tak kiralah anda orang umno atau parti pembangkang,, kalau sanggup bayar minyak yang bakal akan naik lagi tak apa lah...

Anak pemimpin HK hina pembayar cukai


CHAI Yan Leung
BEIJING 3 Okt. - Selepas didesak meletakkan jawatan oleh penunjuk perasaan Central Occupy, Ketua Eksekutif Hong Kong, Chung Ying Leung semakin tertekan berikutan gelagat anak perempuannya yang mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan prodemokrasi apabila membuat kenyataan kontroversi mendakwa, rantai berlian dan kasut mahalnya dibeli menggunakan duit pembayar cukai yang ‘bodoh’.
Chai Yan Leung mengeluarkan kenyataan itu melalui laman sosial Facebook bagi mengejek pihak yang menghina rantai leher baharu miliknya yang disamakan seperti rantai anjing.
Dalam kenyataan yang dipetik oleh portal berita Times of India, Chai Yan berkata: “Rantai leher dalam gambar profil saya bukan rantai anjing, bodoh!!!.
“Rantai itu merupakan barang kemas yang dibeli di Lane Crawford (ya, dibeli menggunakan duit pembayar cukai Hong Kong!! Begitu juga dengan semua kasut, beg dan baju yang cantik!! Terima kasih banyak-banyak!!!!)," katanya dalam Facebook.
Akaun Facebook remaja berusia 22 tahun itu ditutup tidak lama kemudian, tetapi beberapa akhbar harian utama Hong Kong sempat menyiarkan kenyataan kontroversi tersebut sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_04/Anak-pemimpin-HK-hina-pembayar-cukai#ixzz3F7TFPzAN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Susilo mahu kembalikan pilihan raya tempatan


SUSILO
JAKARTA 3 Okt. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memperkenalkan rang undang-undang baharu untuk membatalkan rang undang-undang yang membubarkan pilihan raya tempatan yang diluluskan pada minggu lepas.
Portal berita Jakarta Post, hari ini melaporkan Susilo sebagai berkata, rang undang-undang itu perlu bagi melindungi 204 pilihan raya tempatan yang dijadual diadakan pada tahun depan.
Beliau turut menetapkan 10 penambahbaikan yang ingin dilaksanakan apabila rang undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“Saya berkongsi kekecewaan dengan lebih separuh daripada penduduk Indonesia berhubung kelulusan rang undang-undang pembubaran pilihan raya tempatan itu.
“Pilihan saya adalah menyokong pilihan raya diadakan. Saya dilantik sebagai Presiden pada 2004 dan 2009 melalui pilihan raya,’’ ujarnya.
Kebanyakan pihak ragu-ragu tindakan Susilo akan mengembalikan proses pilihan raya tempatan itu ketika DPR didominasi Perikatan Merah dan Putih yang menyokong mekanisme lantikan pemimpin kerajaan tempatan termasuk gabenor, datuk bandar dan wakil daerah.
Beberapa pihak termasuk enam aktivis dan empat kumpulan sivil turut memfailkan permohonan di Mahkamah Perlembagaan mencabar pembubaran pilihan raya tempatan tersebut.
Bekas calon pilihan raya tempatan dan Ketua Eksekutif Masyarakat Antirasuah Indonesia (MAKI), Boyamin merupakan antara individu yang memfailkan permohonan berkenaan.
Mereka menyatakan bahawa rang undang-undang itu melanggar prinsip pilihan raya bebas dan adil, selain prinsip kedaulatan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 1 Perlembagaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_05/Susilo-mahu-kembalikan-pilihan-raya-tempatan#ixzz3F7SqYIyW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selebriti wanita saman Google RM324.65 juta


KIM KARDASHIAN
LOS ANGELES 3 Okt. - Sekumpulan selebriti wanita yang menjadi mangsa godam akaun e-mel, menyaman syarikat Google berjumlah AS$100 juta (RM324.65 juta) atas dakwaan mengambil kesempatan ke atas skandal tersebut tanpa bertindak menyelesaikan isu berkenaan.
Antara selebriti yang terlibat ialah Rihanna, Jennifer Lawrence, Kate Upton dan Kim Kardashian, lapor laman web, Mail Online.
Menurut sumber, Page Six, peguam- peguam yang mewakili selebriti terbabit mendakwa, Google berupaya membuang gambar-gambar yang dicuri daripada Internet, namun pihak syarikat berkenaan gagal berbuat demikian.
Sebaliknya, Google dilihat mengambil kesempatan terhadap kes itu untuk mendapatkan keuntungan daripada penganiayaan ke atas selebriti terlibat.
Pendakwa raya Hollywood, Marty Singer turut menulis surat kepada pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin menuduh tindakan mereka sebagai tidak beretika dalam menangani isu tersebut.
“Disebabkan mangsa yang terbabit adalah selebriti yang mempunyai nilai publisiti yang tinggi, anda tidak melakukan apa-apa, sebaliknya anda mengambil kesempatan dan tidak menghentikannya," menurut surat berkenaan.
Gambar-gambar yang dicuri oleh penggodam masih tersebar di laman-laman web sosial, walaupun terdapat polisi ketat yang melindungi pengguna daripada dianiaya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_10/Selebriti-wanita-saman-Google-RM32465-juta#ixzz3F7SFHx1b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hong Kong terus lumpuh


KEKECOHAN tercetus apabila polis mengusir aktivis prodemokrasi dengan alasan mahu menghantar seorang pegawai kerajaan ke hospital di pekarangan sebuah bangunan kerajaan di Hong Kong, semalam. - AFP
BEIJING 3 Okt. - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi dilapor bertempur dengan pihak polis di luar ibu pejabat kerajaan, menunjukkan ketegangan di wilayah autonomi China itu semakin meningkat, walaupun persetujuan dicapai untuk mengadakan rundingan.
Kumpulan penunjuk perasaan, Occupy Central menetapkan tengah malam tadi sebagai tempoh akhir kepada Ketua Eksekutif Hong Kong, Chung Ying Leung meletak jawatan, tetapi beliau enggan tunduk kepada tuntutan tersebut.
Awal hari ini, polis merempuh kira-kira 100 aktivis yang menghalang laluan keluar dari bangunan kerajaan kerana mahu menghantar seorang pegawai kerajaan yang sakit menaiki ambulans.
Walaupun pada mulanya penunjuk perasaan enggan berganjak dan mendakwa polis cuba menipu mereka, anggota keselamatan berjaya membawa masuk pesakit tersebut ke dalam ambulans untuk dihantar ke hospital.
Pertempuran turut dilaporkan meletus antara kumpulan pro dan antidemokrasi sehingga memaksa pasukan keselamatan campur tangan untuk meredakan ketegangan.
Kira-kira 200 aktivis demokrasi berdepan dengan sekumpulan besar penentang tunjuk perasaan di Mong Kok, kawasan beli-belah paling sibuk di Hong Kong yang bertindak membuang semua penghalang yang dibina oleh penyokong prodemokrasi.
Pergelutan turut berlaku di Causeway Bay apabila 25 aktivis demokrasi bergaduh dengan 50 penentang demokrasi.
Bantahan menentang tunjuk perasaan tercetus selepas orang ramai marah terhadap demonstrasi yang mengganggu ketenteraman awam dan menghalang aktiviti harian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_03/Hong-Kong-terus-lumpuh#ixzz3F7RbgHDu
© Utusan Melayu (M) Bhd