KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pihak pendakwaan kes pasangan blog kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee percaya lelaki itu akan pulang ke Malaysia kerana dia tidak akan membiarkan teman wanitanya berseorangan menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang memberitahu perkara itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini turut berkata, Alvin yang melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan itu, telah menunjukkan bahawa dia seorang yang berani apabila bercakap mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah negara ini.
Justeru, kata beliau, dengan keberaniannya itu sudah pasti tertuduh tidak akan membiarkan Vivian berseorangan menghadapi pertuduhan berkenaan.
Kalau dia berani, dia akan balik, tidak mungkin dia hendak berseronok melihat teman wanitanya dibicarakan seorang diri, saya percaya dia akan pulang," katanya semasa sebutan kes waran tangkap terhadap Alvin di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin juga berkata, waran tangkap terhadap lelaki itu berkemungkinan tidak dapat diserahkan kerana dia masih gagal dikesan dan ini merupakan kali keempat dia gagal hadir untuk kes tersebut.
Namun, beliau yakin pihak polis sedang berusaha untuk mengesan Alvin mengikut prosedur mereka.
Pada prosiding kes itu, Vivian yang diwakili peguam, Nur Adilah Kamar Zaman tidak hadir kerana telah diberi pengecualian namun Abdul Rashid memerintahkan wanita itu hadir bagi sebutan semula kes tersebut yang ditetapkan pada 28 November ini.
Pasangan itu menghadapi tuduhan bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook berhubung kandungan gambar dan komen yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Pertuduhan di bawah subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di Kuala Lumpur pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai 2013.
Mereka juga menghadapi pertuduhan mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 iaitu mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ antara pukul 9 malam, 6 Julai 2013 dan 2 pagi, 7 Julai 2013 di alamat yang sama di Kompleks Mutiara.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, sebelum ini dikenakan waran tangkap setelah gagal menyerahkan semula pasport miliknya kepada mahkamah.
Sebelum itu, pada 12 Mei lalu, mahkamah membenarkan pasport Alvin dan Vivian atau nama sebenarnya, Lee May Ling, 25, yang disimpan di mahkamah sebagai syarat jaminan, diserahkan sementara kepada mereka berdua dari 18 Mei sehingga 3 Jun lalu untuk mereka pergi ke Singapura bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari.
Namun hanya Vivian mengembalikan pasportnya kepada mahkamah pada 3 Jun lalu.
Alvin yang mendakwa kini berada di Amerika Syarikat (AS) sedang diburu oleh pihak polis negara ini termasuk dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membolehkan dia diekstradisi ke negara ini.
Lelaki itu yang cuba mendapat suaka politik di negara berkenaan semakin biadab apabila memuat naik status dan gambar dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini yang dilihat cuba memalukan dan menghina pemimpin negara ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_02/Alvin-tidak-biarkan-Vivian-keseorangan---Pendakwa#ixzz3F7bjk5TC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment