Saturday, October 4, 2014

Hong Kong terus lumpuh


KEKECOHAN tercetus apabila polis mengusir aktivis prodemokrasi dengan alasan mahu menghantar seorang pegawai kerajaan ke hospital di pekarangan sebuah bangunan kerajaan di Hong Kong, semalam. - AFP
BEIJING 3 Okt. - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi dilapor bertempur dengan pihak polis di luar ibu pejabat kerajaan, menunjukkan ketegangan di wilayah autonomi China itu semakin meningkat, walaupun persetujuan dicapai untuk mengadakan rundingan.
Kumpulan penunjuk perasaan, Occupy Central menetapkan tengah malam tadi sebagai tempoh akhir kepada Ketua Eksekutif Hong Kong, Chung Ying Leung meletak jawatan, tetapi beliau enggan tunduk kepada tuntutan tersebut.
Awal hari ini, polis merempuh kira-kira 100 aktivis yang menghalang laluan keluar dari bangunan kerajaan kerana mahu menghantar seorang pegawai kerajaan yang sakit menaiki ambulans.
Walaupun pada mulanya penunjuk perasaan enggan berganjak dan mendakwa polis cuba menipu mereka, anggota keselamatan berjaya membawa masuk pesakit tersebut ke dalam ambulans untuk dihantar ke hospital.
Pertempuran turut dilaporkan meletus antara kumpulan pro dan antidemokrasi sehingga memaksa pasukan keselamatan campur tangan untuk meredakan ketegangan.
Kira-kira 200 aktivis demokrasi berdepan dengan sekumpulan besar penentang tunjuk perasaan di Mong Kok, kawasan beli-belah paling sibuk di Hong Kong yang bertindak membuang semua penghalang yang dibina oleh penyokong prodemokrasi.
Pergelutan turut berlaku di Causeway Bay apabila 25 aktivis demokrasi bergaduh dengan 50 penentang demokrasi.
Bantahan menentang tunjuk perasaan tercetus selepas orang ramai marah terhadap demonstrasi yang mengganggu ketenteraman awam dan menghalang aktiviti harian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_03/Hong-Kong-terus-lumpuh#ixzz3F7RbgHDu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment