LIM Kit Siang (kanan) menemani Chen Man Hin (kiri) yang hadir ke Mahkamah Tinggi untuk memberi kenyataan kes saman terhadap UMMB di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_05/Saya-bukan-Father-Augustus-Chen---Man-Hin#ixzz3F7dsXPxn
© Utusan Melayu (M) Bhd
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin menyatakan, beliau bukanlah Father Augustus Chen dan tidak pernah membaca buku kecil yang didakwa ditulis oleh Father Augustus Chen berjudul Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC).
Pengamal perubatan berusia 90 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menganggotai DAP sejak 1965 sebelum Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyertai parti tersebut.
Beliau yang merupakan kenalan rapat Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan yang menyatakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berada dalam kawalan Kit Siang selain mendakwa, kandungan buku tersebut tidak betul.
Man Hin memberi keterangan selaku saksi bagi pihak Kit Siang dalam perbicaraan kes saman fitnah ahli politik itu terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) pada prosiding untuk mencabar kebolehpercayaan keterangan wartawan Utusan Malaysia, Kasthuri Jeevendran, penulis artikel bertajuk Kit Siang manipulasi pemilihan CEC? pada 17 Ogos tahun lalu.
Peguam Mohd. Izral Khairy mewakili UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan ketika menyoal balas Man Hin menganggap keterangan yang diberikan saksi terbabit mempunyai unsur berat sebelah yang nyata dan memihak kepada Kit Siang.
Bagaimanapun Man Hin menafikannya sebaliknya berkata, beliau menyatakan perkara yang benar semata-mata.
Hakim Datuk Yeoh Wee Siam kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Kit Siang memfailkan hujahan dan UMMB memfailkan hujahan balas pada 11 November sebelum mahkamah membuat keputusan pada 10 Disember ini.
Dalam saman yang difailkan pada 19 September 2013, Kit Siang mendakwa, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah untuk mencemarkan reputasi dan karier politiknya.
Oleh itu, Kit Siang menuntut satu jumlah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141004/ma_05/Saya-bukan-Father-Augustus-Chen---Man-Hin#ixzz3F7dsXPxn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment