Thursday, October 30, 2014

Jawapan pasukan pendakwa raya sekadar kenyataan politik - Anwar



DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan peguamnya selepas mahkamah ditangguhkan pada hari ketiga bagi mendengar keputusan rayuan terakhir berhubung kes liwat di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan pasukan pendakwa raya mampu menjawab kesemua keterangan dibangkitkan peguam bela dalam rayuan kes liwatnya, namun mendakwa ia sekadar kenyataan politik.
"Saya fikir apa pun boleh dijawab, termasuk cadangan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk tambah hukuman, tetapi ini semua (jawapan yang bakal diberi hanya) kenyataan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, sebentar tadi.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut mendakwa pasukan peguam bela yang mewakilinya sudah memberikan perincian hujah yang kukuh.
"Saya kira (hujah yang diberikan dibuat) sebaik mungkin yang kita boleh harapkan.
"Saya tidak fikir munasabah untuk mendapat keputusan sebaliknya, iaitu melepaskan saya daripada tuduhan fitnah jahat ini," katanya.
Prosiding rayuan kes liwat ketua pembangkang itu yang berlangsung pagi tadi ditangguhkan pada jam 12.40 tengah hari tadi dan akan disambung semula pagi esok dengan hujah oleh pasukan pendakwa raya diketuai Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Parti sekular raih lebih sokongan dalam pilihan raya Tunisia

Penyokong Parti Nida Tunis (Panggilan Tunisia) meraikan kemenangan dalam pilihan raya Parlimen di Tunis semalam. - Foto AP
TUNIS: Parti sekular Nida Tunis memperoleh lebih banyak kerusi dalam pilihan raya Parlimen Tunisia, Ahad lalu, mengatasi parti Islam Ennahda.
Suruhanjaya Pilihan Raya ISIE memberitahu satu sidang akhbar, Nida Tunis menang 85 daripada 217 kerusi Parlimen, diikuti Ennahda memperoleh 69 kerusi.
Bagaimanapun, tiada satu pun daripada dua parti berkenaan dijangka menang majoriti jelas, menyebabkan berlaku tawar-menawar antara ahli politik menjelang pengumuman penuh keputusan pilihan raya itu.
Ennahda adalah parti dominan dalam politik Tunisia sejak revolusi 2011, dipuji kerana menerima keputusan itu dengan tenang.
Ennahda, yang memimpin negara Afrika Utara itu berikutan revolusi berkenaan, mengucapkan tahniah kepada Nida Tunis kerana berjaya menjadi parti terbesar di Parlimen pertama yang dipilih selepas revolusi.
Parti itu menyeru ahlinya supaya meraikan demokrasi dan beratus-ratus penyokongnya berhimpun di pekarangan luar ibu pejabatnya di Tunis walaupun tidak menang besar dalam pilihan raya.
"Kami gembira kerana Ennahda mampu membawa Tunisia ke peringkat ini berikutan revolusi beberapa tahun lalu," kata Abdelhamid Jelassi, Koordinator Nasional parti berkenaan.
Rakyat Tunisia berharap pilihan raya itu dan pilihan raya presiden pada 23 November depan akan memberi kestabilan kepada negara berkenaan, hampir empat tahun selepas revolusi 2011 yang menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali. - AFP

BR1M: BN tidak perlu lagi sogok rakyat bila PRU tiba?


DR SITI MARIAH MAHMUD | .
SAYA ingat belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriah dan salam Hijratul Rasul. Saya ingin merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana keadaan negara kita yang Alhamdulillah setakat ini kita kira semua kaum dan bangsa boleh hidup bersama walaupun kita masih ada perkara-perkara yang kita ingin perbaiki dan sempurnakan. 
Apabila pihak pembangkang menegur pihak kerajaan dan menyebut perkara-perkara tertentu, tidaklah bermakna kita mengatakan tidak ada satu benda pun yang tidak bagus yang kerajaan lakukan. Biasalah sebagai check and balance, ya sebagai menyemak imbang ini, tentulah kita akan menyebut perkara-perkara yang masih perlu diperbaiki dan perlu disempurnakan. Itu harap kena fahamlah, itu peranannya negara demokrasi yang ada pembangkang. 

Saya ingin menyebut sebelum saya menghurai beberapa perkara. Beberapa perkara yang tidak ada dalam bajet ini yang Perdana Menteri tidak sentuh dan saya rasa perkara-perkara ini penting. Mungkin saya tidak sempat untuk membahaskan kesemuanya tetapi saya ingin ia dicatit kerana perkara ini adalah penting. 

Pertama ialah mengenai tidak ada langsung peruntukan untuk tebatan banjir di Sungai Golok. Saban tahun, tiap-tiap kali – dua atau tiga kali kawasan Rantau Panjang dan sekelilingnya akan ditimpa banjir. Sebelah sana, Kerajaan Thailand sudah membina benteng yang tinggi dan air sungai yang melimpah tidak ke belah Thailand tetapi sebelah kita. 

Kedua ialah tidak ada langsung Perdana Menteri menyebut tentang pembangunan insentif kepada pembangunan elektrik dan hybrid, insentif penjimatan tenaga elektrik melalui tenaga solar, penjimatan air melalui harvest, penuaian air hujan. Semua ini adalah terangkum di dalam kita panggil teknologi hijau. Juga isu jurang upah dan gaji antara pengurusan atas dan bawah dan antara gender dan antara kaum di sektor swasta tidak langsung ditempuh. Bagaimana kerajaan hendak membetulkan keadaan ini? 

Penting saya rasa yang saya mungkin sempat sentuh sekejap lagi ialah mengenai keperluan negara kita kepada buruh asing dan bagaimana negara kita akan mentransformasikan ekonomi kita ke arah berpendapatan tinggi. Ini saya rasa penting kerana kita dibanjiri oleh pekerja asing dan rakyat sendiri merasakan bahawa kehadiran pekerja asing ini sangat membawa impak negatif kepada sosioekonomi mereka. 

Tanggapan pertama – first impression bajet yang peduli rakyat ini banyak habuan untuk rakyat. Itulah yang sekali lalu kalau kita tengok, inilah tanggapan pertama kita. Akan tetapi, apabila diteliti ia tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat dalam jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, memanglah mendatangkan kegembiraan euphoria ataupun keseronokan sementara. Namun, akhirnya rakyat masih di tahap tokok yang lama. 

Kerajaan telah cuba untuk compensate, dengan izin ya dengan berbagai-bagai program kesejahteraan rakyat tetapi isunya ialah penyebab kepada perkara-perkara ini tidak disentuh dalam bajet ini. Kos sara hidup yang terus naik, saya kira semua orang terima hakikat ini. Tambahan dengan pelaksanaan GST tahun hadapan, maka juga telah diterima bahawa kos hidup ini akan meningkat yang dalam negara kita, kita tahu kos sara hidup ini kalau dah naik, tidak akan turun. Kalau ia mendatar pun, kira pun tak akan mendatar. Maknanya akan terus naik.

Ada sahabat-sahabat kita daripada Barisan Nasional mengatakan, “Katakan di mana di dalam dunia ini kos sara hidup tidak meningkat?” Saya rasa agak terkilan. Saya hendak ceritakan bahawa saya biasa belajar di United Kingdom dan saya biasa pergi ke Ireland beberapa kali.

Saya terkejut kerana di sana, setelah 10-15 tahun saya pergi balik, harga barang-barang asasnya tidak meningkat dan mereka tidak ada subsidi. Saya balik dan melihat barang-barang kegemaran yang saya selalu minum dan makan sebagainya masih lagi pada harga yang sama.

Di Ireland, ada masanya harga rumah turun. Harga beras tinggal separuh kerana adanya free market di sana. Real free market, dengan izin.  Jadi jawapan yang lazim kita dapat adalah kerana negara kita permintaan lebih tinggi berbanding dengan bekalan. Kos barangan mentah meningkat, sebagainya. Kita semua tahu dalam menyelesaikan hampir semua masalah kehidupan ini, prinsipnya sepatutnya kita kembali kepada penyebabnya. Apa penyebabnya? Kita betulkan atau dalam kata lain kita cari ubatnya walaupun ia susah, sukar dan pahit. 

Kalau sumber makanan kurang, maka kita perlu memperbanyakkan penghasilannya. Kita perlu ada jaminan makanan sendiri. Jika makanan tertentu tidak ekonomik untuk dihasilkan dan lebih murah diimport, maka Malaysia perlu membuka pasaran bebas untuk pengimport bersaing, memberi harga terbaik kepada pengguna dan tidak membenarkan monopoli pengimportannya dan lesen perniagaannya. 

Di Malaysia apabila harga barang naik, kita belum lagi mengalami harganya yang akan turun semula. Malah ada penternak ayam sanggup membinasakan anak-anak ayam kerana hendak mengekalkan harga yang tinggi. Kos rumah yang semakin tinggi dikatakan disebabkan harga tanah yang tinggi. Tidak siapa dapat menafikan keadaan ini terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Akan tetapi apa maklum balas yang saya dapat daripada developer – daripada pemaju-pemaju perumahan, dia kata yang paling teruk sekarang ialah kos harga-harga barang binaan itu sendiri ya, untuk buat rumah sehingga 30%.

Apabila kita tanya kenapa, semua mereka menjawab bahawa kenaikan harga ini tidak dapat dikawal kerana tiada persaingan sihat di antara pembekal dan pengilang kerana adanya monopoli pembekalan bahan seperti simen. Ya, yang ini berlaku.  Jadi unsur persengkokolan di antara syarikat-syarikat yang besar-besar dan setengahnya ada kaitan dengan parti pemerintah, dasar kerajaan yang tidak meliberalisasikan perniagaan bahan binaan dan sebagainya menyebabkan kos-kos ini akan terus naik dan rakyat menanggung beban. 

Mengenai BR1M, saya hendak menyebut di sini bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia tidak siapa yang menafikan bahawa rakyat kita, sebahagian daripada rakyat kita memerlukan bantuan daripada kerajaan, sumbangan daripada kerajaan. Tambahan pula dengan penarikan subsidi-subsidi bahan bakar - minyak, maka semuanya akan naik. Cuma saya nak betulkan atau nak tegur cara pengagihan BR1M itu sendiri. 

Saya dapati bahawa penerima-penerima bantuan JKM – OKU, tidak semuanya mendapat BR1M. Mereka terpaksa sekali lagi memohon melalui borang-borang online dan sebagainya, melalui LHDN untuk mendapat bantuan tersebut. Kenapa tidak, bantuan yang sepatutnya kita beri dan mereka ini memang dah layak dapat kerana mereka memang berpendapatan rendah dan orang yang menerima sumbangan daripada JKM, disalurkan melalui JKM itu sendiri, Kementerian Pembangunan Wanita.  Makna dia mereka sudah ada statistiknya, berapa orang ibu tunggal, berapa orang warga emas, berapa orang OKU dan sebagainya secara terus diberi kepada mereka melalui akaun-akaun mereka.  Mereka ini tidak perlu memohon semula.

Kenapa perlu kita menyusahkan rakyat, tambahan mereka ini adalah daripada golongan yang sosioekonomi rendah, komputer pun tidak ada di rumah, hendak cari borang, hendak naik bas, hendak turun bas, semuanya adalah kos kepada mereka.  Permudahkan pengagihan ini kepada golongan ini.   Begitu juga dengan penerima-penerima zakat, ini semua saya rangkum sebagai golongan yang memang selama ini mendapat bantuan, memerlukan bantuan kerajaan.

Saya merasakan bahawa pengagihan ini perlulah telus.  Rakyat perlu faham siapa yang tidak layak dan tidak boleh mengambilnya.  Kalau mengikut borang BR1M yang ada dalam online, yang layak dapatnya ialah orang-orang yang ketua keluarga berpendapatan sekarang ini RM4,000 dan sebelum ini RM3,000.

Juga warga emas sebatang kara yang pendapatannya juga kurang daripada RM4,000 untuk tahun 2015, yang lepas RM3,000 dan juga orang bujang.  Pokoknya bila saya tengok borangnya, maka tidak ada penapisan. Makna kalau saya hendak pergi, hendak tulis bahawa pendapatan saya kurang RM3,000 siapa yang memeriksanya?  Kecuali orang yang sudah bayar cukai yang nama mereka ada dengan LHDN.
Kebanyakan yang memohonnya sama ada dalam informal sektor ataupun bekerja sendiri.  Mereka tidak perlu untuk memberi kenyataan penyata gaji atau sebagainya bukti pendapatan mereka.  Ada isi rumah, suami dapat isteri dapat.  Ada warga emas, dia bukan sebatang kara, anak-anaknya berpendapatan tinggi dan mereka ini juga pernah dibangkitkan oleh kawan-kawan di sebelah sana yang datang mengambil BR1Mnya menaiki kereta mewah.

Jadi kita bercakap mengenai rakyat yang layak mendapat subsidi dan bantuan.  Itu sebabnya antara sebab kerajaan menarik balik subsidi dari minyak kerana katanya orang- orang kaya yang menikmati. Sekarang ini di dalam BR1M kita tidak cermat, kita tidak fokus kepada siapa yang kita hendak beri, sesiapa sahaja boleh.  Ini kerana tidak ada pihak yang memeriksa latar belakang.  Kalau permohonan JKM, dia lain.  Pegawai akan turun membuat pemeriksaan, mendapat maklumat yang sebenarnya.  Akan tetapi untuk BR1M, sesiapa sahaja boleh.

Saya rasa dari segi hukum, saya tidak dengar lagi mana-mana fatwa sekiranya seseorang itu tidak layak menerima, dia menipu dalam mengisi borang BR1M.  Apa fatwanya dari segi hukum?  Kalau ikut, haram.  Dalam pengajian saya, apabila kita mengambil sesuatu yang bukan hak kita, ia adalah haram.  Kita akan makan, kita akan jadikan dia darah daging kita.  Adakah dia sama seperti mencuri?  Menipu? Merasuah?  Makan duit rasuah?  Ini rakyat kena jelas kerana ia akan menjadi darah daging kita.  Keberkatan kita daripada apa yang kita makan.  Kita mengambil sesuatu yang bukan hak kita.

Ada orang kata tidak apalah mak dengan ayah boleh ambil, ini hak rakyat.  Dia lupa yang anaknya adalah daripada golongan berpendapatan tinggi dan sepatutnya menjadi tanggungjawab anak-anak menjaga ibu bapa itu.  Ini saya rasa kena jelas dan kena diuar-uarkan kepada rakyat.

Saya kira satu sistem perlu kita wujudkan dan saya tidak tahu bahawa lama mana lagi kerajaan akan meneruskan BR1M.  Ini kerana saya rasa selagi Datuk Seri Mohd. Najib menjadi Perdana Menterinya, selagi itulah BR1Mnya ada.  Jadi tidak dapat dinafikan BR1M ialah instrumen politik yang sangat berkesan untuk terus mendapat undi golongan berpendapatan rendah dan kurang berpendidikan.  Golongan ini masih terkapai-kapai untuk memenuhi keperluan asas mereka.  Makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain keperluan asas.  

Bila sahaja memperoleh wang, mudah untuk menyelesaikan masalah mereka.  Walaupun sementara sangatlah dihargai.  Bagi mereka walaupun sedikit tetapi lebih baik daripada tiada langsung.  Ini pemikiran yang ada kepada orang kita.  Sebanyak RM4.3 bilion sebenarnya ialah satu pelaburan ampuh untuk memastikan Barisan Nasional kekal berkuasa entah berapa lama lagi.  Ini ialah cara mengikat hati rakyat.  Ia cara yang sah dari segi undang-undang kerana telah diluluskan di Parlimen.

Dengan adanya BR1M, Kerajaan Barisan Nasional tidak perlu lagi menyogok ataupun merasuah rakyat bila PRU tiba.  Strategi ini semakin canggih kerana tahun 2015, BR1M akan diberi dalam tiga kali, makna dia tiga kali dalam setahun.  Rakyat akan terima kasih, terima kasih, terima kasih dia bijak ini.  Ini strategi yang sangat bijak.  Saya cakap betul ini tetapi dia tidak akan menyelesaikan masalah jangka masa panjang 40% daripada rakyat kita.  Sepatutnya kita memikirkan bagaimana kita hendak mengeluarkan mereka daripada golongan ini, golongan 40% ini.  Apakah peluang-peluang pekerjaan yang ada pada mereka?  Rakyat tidak sedar.

Rakyat terima kasih sebab RM4.3 bilion ini sedikit berbanding dengan pembaziran yang kawan-kawan saya sebutlah terlalu banyak subsidi-subsidi, kompensasi-kompensasi yang diberi kepada syarikat-syarikat kroni.  Jadi ini sedikit sangat bagi saya. 

Jadi saya hendak sebut juga mengenai OKU.  Dengan bangganya Datuk Seri Mohd. Najib mengatakan kami tambah RM50.  Apalah RM300 kata RM350, apalah RM150 kalau lebih RM20.  Bagi orang berpendapatan tinggi memang RM50 ini tidak ada apa.  Akan tetapi apa yang saya harapkan bagi orang OKU, bukan RM350 tetapi RM500 secara bulanan.

Saya tidak nampak macam mana mereka boleh survive dengan masalah yang ada.  Saya akan bercakap lagi mengenai OKU apabila tiba kepada bawah Kementerian Pembangunan ini.  Saya hendak sebut mengenai i-BR1M...

Idris Ahmad [Bukit Gantang]:  Berkenaan dengan OKU ini.  Apa pandangan Yang Berhormat Kota Raja, pelik juga bantuan untuk OKU ini bagi yang tidak bekerja, dia bagi RM150, hak yang bekerja dia bagi RM300.  Sepatutnya memang hak yang tidak bekerja hendak pergi kerja macam mana?  Jadi sifir yang saya rasakan agak pelik dan kekok.  Apa pandangan daripada Yang Berhormat Kota Raja?

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja]:  Okey, sebenarnya kalau kita tengok polisi JKM, yang tidak bekerja itu sepatutnya adalah yang terlantar. OKU yang terlantar ataupun mempunyai kecacatan tidak boleh kerja.  Jadi memang tidak mencukupi dan malah penjaganya yang tidak boleh bekerja kerana menjaga OKU ini juga perlu diberi bantuan. 

Jadi sepatutnya bukan RM150 kerana ada satu lagi bantuan yang diberi kepada orang yang menjaga RM300 lebih kalau tidak silap saya.  Ya, memang songsanglah itu saya setuju.  Bagi yang bekerja dia dapat top up dari RM350, yang tidak bekerja RM150 sekarang RM200 tidak mencukupi.  Sama-sama sekali tidak mencukupi.  Jadi kita minta kerajaan menyemak semula bantuan kepada OKU ini.

Saya hendak menyebut tentang insurans BR1M ataupun Takaful BR1M ini.  Tahun lepas 2014 apabila kerajaan memulakan BR1M ini, RM50 diinsuranskan panggil Insurans 1Malaysia dan kita ada tujuh juta penerima.  Tujuh juta penerima kali RM50 makna dia RM350 juta digunakan sebagai premium kepada Syarikat Takaful.

Apabila ditanya oleh salah seorang Ahli Parlimen kita, jawapan bertulis - yang hanya kelim menuntut pampasan apabila ada kematian, kemalangan hanya 13,000 orang sahaja yang layak lebih kurang, yang dapat dan pampasan yang dikeluarkan hanya RM42 juta.  Kita tidak perlu ada sistem Takaful ini.

Kerajaan boleh letak RM350 juta ini dalam satu tabung, biar JKM yang mentadbirnya maka semua golongan yang dapat BR1M ini tanpa syarat, mati sahaja bagi sahaja.  Akan tetapi sekarang kita tengok Syarikat Takaful, beberapa syarikat yang digabungkan sudah dapat keuntungan RM300 juta.  Satu lagi pembaziran ketirisan yang sepatutnya duit itu digunakan untuk rakyat. Akan tetapi kali ini saya tengok Perdana Menteri sudah memberi dalam ucapannya baru-baru ini bahawa akan melakukan, tidak lagi membuat skim Takaful ini tetapi menggantikannya dengan Takaful berkelompok, Skim Khairat Kematian bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama satu tahun.  Untuk makluman Parlimen, Dewan Rakyat ini negeri Selangor dari tahun 2008 telah melaksanakan apa kita panggil Skim Mesra Usia Emas.  

Di mana warga emas 60 ke atas secara automatik, tidak kira kaya, tidak kira miskin tidak kira Cina, tidak kira Melayu, tidak kira India, tidak kira agama apa daftar sahaja sekiranya dia meninggal innalillahwainailahirojiun, maka keluarga penamanya akan dapat urusan khairat kematian RM2,500.  Kelantan sudah lama melaksanakan skim takaful ini ataupun khairat kematian ini.  Jadi terima kasih kerana maknanya kerajaan melihat kewajaran apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya hendak cakap kata saya sokong apa yang dilakukan di Sabah dan Sarawak.  Macam- macam hendak buat.  Tengoklah sendiri banyak mana hendak beri.  Cuma menjadi kegusaran saya kerana projek-projek ini seharusnya menjana pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah dan Sarawak.

Kita ada ramai rakyat Sabah yang berhijrah duduk di Kuala Lumpur, di Selangor dan sebagainya dan kehidupan di sini pun tidak mudah, tidak senang.  Mereka masih lagi bekerja dengan pekerjaan-pekerjaan yang berpendapatan rendah.  Satu rumah kadang-kadang dihuni oleh dua, tiga keluarga. 

Akan tetapi pokoknya saya hendak tanya kenapa baru-baru ini mungkin Yang Berhormat Timbalan Menteri Sumber Manusia mengatakan bahawa akan bawa masuk 12,000 orang dari Bangladesh.  Minta Kerajaan Bangladesh menyediakan 12,000 orang untuk tambah di atas 5,000 pekerja Bangladesh yang sedia ada di Sarawak.  Saya tidak faham bagaimana kerajaan kita tidak memikirkan jangka masa panjang kesan kedatangan pendatang-pendatang ataupun pekerja-pekerja asing. 

Di Semenanjung sendiri, kalau kita lihat pekerja-pekerja Bangladesh dan Indonesia sudah memasuki penetrate ataupun invade dengan izin semua sektor pekerjaan.  Daripada perniagaan runcit, kedai-kedai runcit yang ada di Selangor kawasan Melayu semuanya dimonopoli oleh orang-orang Acheh.

Walaupun boleh dikatakan kebanyakan mereka sudah dapat kerakyatan sini dan sekarang ini semua pusat membasuh kereta dan sebagainya semuanya dikuasai oleh orang Bangladesh.  Kenapa kerajaan tidak boleh memikirkan untuk memodalkan rakyat untuk kerja-kerja kecilan begini.  Misalnya kerja kontrak, potong rumput.
Saya masih hairan kenapa perlu ambil kontraktor dan kemudian bagi pula kepada orang Bangladesh untuk buat kerja.  Apa salahnya kalau kita mengupayakan rakyat kita untuk membuat kerja-kerja ini.  Beri sedikit gaji tinggi pada biasa kerana intangible cost yang kita tidak nampak dalam jangka masa panjang lebih besar daripada kalau kita memberi gaji yang lebih tinggi. 

Saya ingin bertanya Tuan Yang di-Pertua berkenaan gaji minimum.  Ada lagi syarikat-syarikat keselamatan tidak membayar gaji minimum kepada pekerja mereka dan banyak lagi majikan yang belum bayar gaji minimum.  Jadi sampai bila keadaan ini dasar yang dibuat oleh kerajaan belum habis kita laksana, kemudian kita buat yang baru, kelemahan kita adalah pelaksanaan. - HARAKAHDAILY 30/10/2014
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud semasa membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2014.

Perghhh..patut ramai yang datang..dapat elaun ehhh..sain jangan tak sain

Perghhh..patut ramai yg datang..dapat elaun ehhh..sain kgn tak sain

Liwat II: Pembelaan sambung berhujah hari ke tiga

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka berjalan menuju ke Mahkamah Persekutuan sambil melakar senyuman yang meyakinkan kepada media untuk perbicaraan kes liwatnya pada hari ke-3 di Istana Kehakiman Putrajaya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka berjalan menuju ke Mahkamah Persekutuan sambil melakar senyuman yang meyakinkan kepada media untuk perbicaraan kes liwatnya pada hari ke-3 di Istana Kehakiman Putrajaya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

30 Oktober 2014
PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan terakhir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki hari ketiga hari ini apabila peguamnya meneruskan penghujahan untuk meyakinkan Hakim Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk
Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N Surendran, R Sivarasa, J Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Hari ini, Ramkarpal akan meneruskan penghujahan mengenai sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga pengadu dalam kes ini.

Muhammad Shafee akan menjawab hujah pembelaan pada sesi petang dan beliau dijangka akan meneruskan hujah pada Jumaat dan kemudian pihak pembelaan akan membalas semula hujah pendakwaan.

Rayuan itu yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Oktober hingga 29 Oktober berlanjutan selama tiga hari dan dijangka selesai esok.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. - Bernama

New Zealand mengundi tukar bendera


30 Oktober 2014

WELLINGTON - NEW ZEALAND. New Zealand akan mengadakan pungutan pada 2016 berhubung penukaran bendera kebangsaan, menurut Perdana Menteri John Key, semalam.

"Bendera kita adalah simbol paling penting dalam identiti kebangsaan dan saya percaya ini adalah masa yang sesuai untuk New Zealand mempertimbangkan perubahan reka bentuk yang lebih mencerminkan status kita sebagai sebuah negara merdeka dan
moden,"katanya.

Sebelum ini, laporan dipetik dari AFP, Key menyatakan keinginannya untuk melihat bendera baharu menampilkan paku pakis berwarna kelabu pada latar belakang hitam, sama seperti sepanduk pasukan ragbi kebangsaan, All Blacks.

Thailand batalkan 100 penerbangan

Lebih 1,000 tanglung mendarat di sekitar lapangan terbang itu.
Lebih 1,000 tanglung mendarat di sekitar lapangan terbang itu.
30 Oktober 2014
BANGKOK - THAILAND. Lebih 100 penerbangan di Thailand terpaksa dibatalkan berikutan sambutan sebuah festival tanglung yang bakal berlangsung 6 November depan.

Jurucakap Lapangan Terbang Thailand (AOT) Apinya Mahawunchai berkata, Kota Chiang Mai merancang melepaskan tanglung udara panas sebagai menandakan perayaan Loy Krathong.
"Kami telah memaklumkan syarikat penerbangan mengenai perkara ini, dan mereka juga telah membuat penyusunan semula jadual,"katanya.
Menurut AOT, laporan dipetik dari dpa, 112 penerbangan dibatalkan dan lebih 50 yang lain telah dijadualkan semula bagi memberi laluan kepada perayaan tahunan yang menggambarkan kesyukuran masyarakat tempatan kepada dewi sungai.

Peguam Bela Anwar Timbulkan Kemungkinan Sampel Rektum Milik Orang Lain

Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 11:21 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini Rabu diberitahu bahawa terdapat kemungkinan anlisis yang dilakukan dua ahli kimia terhadap sampel palitan yang diserah kepada mereka oleh pegawai penyiasat diambil daripada orang lain, bukan daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ramkarpal Singh, seorang daripada peguam yang mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan analisis terhadap sampel itu menunjukkan DNA yang diambil daripada tiga palitan daripada rektum pengadu (Mohd Saiful) berada dalam keadaan asli.

Katanya ia bercanggah dengan sejarah sampel selama hampir 96 jam setelah ia diambil tiga doktor Hospital Kuala Lumpur.

Ramkarpal memberitahu panel lima anggota hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa penjelasan saintifik bagi sampel yang boleh mengalami biodegrasi, terutama dari mana sampel berkenaan diambil (rektum), akan menunjukkan bahawa berlaku degradasi sekiranya ia melebihi tempoh 36 jam.

Beliau berkata, malah dua ahli kimia berkenaan sendiri, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, mengaku dalam pemeriksaan balas bahawa 'berlaku banyak degradasi' dalam tiga sampel yang diambil daripada rektum atas dan bawah Mohd Saiful.

Kata Ramkarpal keadaan itu menyebabkan berlaku degradasi DNA dalam sampel berkenaan, sesuatu yang sangat penting.

"Ini tidak konsisten dengan sampel yang diambil daripada PW1 (Saksi Pendakwa 1, Mohd Saiful) yang menimbulkan keraguan serius sama ada sampel yang dibuat analisis itu sebenarnya diambil daripada PW1," kata beliau.

Peguam itu menegaskan bahawa tempohnya melebihi 36 jam dan analisis terhadap sampel berkenaan menunjukkan ia berada dalam keadaan tidak tercemar.

Katanya Mahkamah Rayuan terkhilaf kerana tidak melihat isu itu, yang mewujudkan keraguan serius dalam kes ini kerana pihak pendakwaan gagal memanggil saksi pematah untuk menjelaskannya.

"Satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat tentang isu ini ialah sampel berkenan berkemungkinan tidak sama dengan yang diserahkan kepada Jabatan Kimia," katanya.

Apabila Arifin bertanya kepada ketua pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau bersetuju dengan hujah itu, Muhammad Shafee berkata pihak pendakwaaan mempunyai penjelasan sendiri tentang isu itu dan akan memberi respons dalam jawapan mereka pada Khamis.

Ramkarpal juga menimbulkan isu pencemaran dengan berkata Dr Seah mengaku terdapat satu lagi DNA milik seorang lelaki lain, selain Mohd Saiful, yang dikenali sebagai 'Male Y'.

(Untuk rekod, dalam kes pendawka, DNA 'Male Y' merujuk kepada Anwar).

"Kehadiran satu lagi DNA dalam sampel yang diambil daripada rektum Mohd Saiful menunjukkan kemungkinan telah berlaku pencemaran di mana, kami tidak boleh mengetepikan ia mungkin milik pegawai penyiasat Jude Pereira (Supt Bersara Judy Blacious Pereira), yang mengendalikan sampel berkenaan," katanya.

Beliau menggesa Mahkamah Apex itu meneliti pendapat pakar dua saksi pembelaan iaitu Prof David Lawrence Wells dan Dr Brian Leslie Mcdonald bahawa untuk mengelak uwujudnya kemungkinan itu, sampel berkenaan sepatutnya diserahkan dengan serta merta kepada Jabatan Kimia.

Ramkarpal berkata hingga kini, tiada siapa yang tahu siapakah pihak ketiga itu.

Katanya walaupuan hakim perbicaraan memutuskan bahawa wujud kes prima facie, namun terdapat jarak serius dalam rantaian bukti, tetapi beliau membuat keputusan tepat pada akhir kes pembelaan dengan membebaskan Anwar, terutama setelah mengambil kira pandangan pakar daripada Wells dan Dr Mcdonald.

Ramkarpal berkata Mahkamah Rayuan gagal menilai isu berkaitan degradasi dan pencemaran apabila mensabitkan kesalahan Anwar, dan oleh itu, Mahkamah Persekutuan perlu memperbetulkan keputusan itu.

Perbicaran disambung pada Khamis, dengan Ramkarpal dijadual menyambung hujahnya pada sesi pagi, manakala Muhammad Shafee akan menjawab di sebelah petang.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Keasyikan kereta kuda Cinderella

Oleh Nazdy Harun
MOHD Hamizan (atas kereta kuda) bersama adiknya Fatin Naimah yang meminati sukan lumba kuda.
am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Imaginasi melalui tontonan filem Inggeris akhirnya diterjemahkan menjadi realiti apabila cubaan pertama menyiapkan kereta kuda Cinderella dan klasik berjaya dilaksanakan dengan sempurna.
Pemilik dan individu pertama yang membina kereta kuda Cinderella dan klasik di negeri ini, Mohd Zahari Ismail, 57, dari Kampung Mengabang Tengah, Batu Burok, di sini, berkata, idea membina kereta kuda berkenaan bermula lapan tahun lalu selepas membeli sebuah kereta kuda kayu dari Kelantan.
Katanya, melalui imaginasi dan ilham yang diperoleh melalui tontonan filem epik Inggeris itu akhirnya sebuah kereta kuda Cinderella berjaya dibina anaknya sambil dia sendiri turut membantu dalam kerja reka bentuknya.
“Untuk menyiapkan kereta kuda Cinderella mengambil masa lebih tiga bulan dengan kos RM15,000 dan kerja-kerja pembuatan dilakukan anak saya (Mohd Hafizi, 28) di pekarangan rumah.
“Kini saya mempunyai dua kereta kuda Cinderella dan sebuah kereta kuda klasik manakala enam kereta kuda Cinderella dijual antaranya kepada Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman serta individu perseorangan di Besut dan Kelantan.
“Saya mula berjinak dalam aktiviti berkuda pada 1999 dan kini mempunyai 10 ekor kuda antaranya kuda lumba, kuda Siam gred A, B dan C serta kuda jenis Pony gred A, B dan C,” katanya.
Menurutnya, semua lima anaknya mahir dan meminati sukan berkuda, malah anak perempuannya Fatin Naimah, 18, mengikuti perlumbaan kuda di dalam negara sejak berusia sembilan tahun.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:17 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5243#sthash.AVLvfXD8.dpuf

Tiduri lelaki mahu biayai percutian

Shanghai: Seorang gadis berusia 19 tahun mengharapkan pembiayaan untuk menjelajah seluruh China dengan meniduri lelaki berlainan di setiap bandar.
Remaja berkenaan, Ju Peng mengiklankan di laman sosial Weibo, dia mencari ‘kekasih sementara’ yang mesti ‘kacak, bawah usia 30 tahun, tinggi lebih 1.75 meter dan sudah pasti, kaya.’
Ju yang berasal dari Shanghai menawar untuk menghabiskan sepanjang malam dengan lelaki yang sanggup membiayai perjalanan dan perbelanjaan hariannya.
“Mereka mesti membiayai tambang saya ke bandar mereka dan semua perbelanjaan saya di sana. Mereka mesti yang bukan kedekut.
“Sebagai balasan, mereka boleh bermalam dengan saya. Saya akan memberi tumpuan tidak berbelah bagi kepada mereka.” katanya dalam iklan berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan Ju dikecam oleh pengkritik yang menganggap iklan itu lebih kepada tawaran melacur.
Mereka juga menggesa supaya iklan berkenaan dipadamkan.
Bagaimanapun Ju berkata, dia sudah menjelajah seluruh timur China dengan cara itu dan kini mahu meneruskan perjelajahannya ke bahagian lain negara berkenaan.
“Ia seperti mengembara. Tidak ada apa yang hendak dimalukan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:22 AM


Ju Peng
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5273#sthash.j6ZKQHy8.dpuf

Jokowi dikritik



Ryamizard Ryacudu


JAKARTA – Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo dikecam kerana melantik seorang bekas jeneral sebagai Menteri Pertahanan negara itu dengan ramai aktivis menyifatkan tindakannya sebagai membelakangi hak asasi manusia.
Presiden Indonesia itu yang popular dengan gelaran Jokowi, mengejutkan para pemerhati apabila menamakan bekas ketua tentera, Ryamizard Ryacudu sebagai anggota Kabinet beliau pada hujung minggu lalu.
Jokowi ialah Presiden Indonesia pertama yang dipilih bukan daripada kalangan elit politik dan tentera negara itu.
Ramai aktivis mendakwa, banyak pencabulan hak asasi berlaku ketika Ryamizard memimpin operasi tentera untuk menghapuskan kumpulan pemisah di Aceh, barat pulau Sumatera dan di Papua.
Pada 2003, beliau dikritik kerana memuji sekumpulan askar yang dipenjara kerana membunuh pemimpin prokemerdekaan Papua sebagai wira.
“Terdapat kesangsian beliau (Ryamizard) akan menghormati hak asasi manusia” kata pemimpin sebuah kumpulan hak asasi Indonesia, Al Araf.
Langkah Jokowi turut dikritik kerana bercanggah dengan tradisi yang diwujudkan sejak era berakhirnya pentadbiran tiga dekad Presiden Suharto.
Semua Presiden Indonesia selepas era Suharto melantik orang awam sebagai Menteri Pertahanan sebagai simbol bahawa institusi awam berkedudukan lebih tinggi daripada tentera.
Semasa pemerintahan Suharto, tentera Indonesia mempunyai peranan yang besar dalam bidang politik dan memiliki empayar perniagaan. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Ha3UU28G 
Hakcipta terpelihara 

Puluhan ribu orang berarak bantah cukai internet di Hungary



REUTERS - PULUHAN ribu rakyat Hungary berarak menyeberangi Jambatan Elisabeth semasa menyertai tunjuk perasaan membantah cukai internet di pusat bandar raya Budapest kelmarin.


BUDAPEST – Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan berarak di ibu kota Hungary di sini kelmarin kerana membantah rancangan kerajaan mengenakan cukai ke atas penggunaan internet bermula 2015.
Protes kedua sejak tiga lalu itu turut membayangkan perasaan tidak puas hati rakyat terutamanya golongan belia terhadap dasar Perdana Menteri Viktor Orban untuk meluaskan kuasa kerajaan sehingga menjejaskan sektor swasta.
Beberapa pemimpin penunjuk pera­saan ketika berucap di luar Kementerian Ekonomi, menggesa Orban membatalkan ranca­ngan untuk memaksa pembekal perkhidmatan internet membayar cukai bulanan sebanyak 700 forint (RM9.45) untuk pe­langgan individu dan 5,000 forint (RM67.50) bagi entiti perniagaan.
Mereka mendakwa, cukai tersebut tidak akan diserap oleh pembekal internet seper­ti yang didakwa oleh kerajaan.
“Jumlah cukai internet yang ideal bukannya 700 atau 5,000 forint tetapi sifar,” kata seorang usahawan internet tempatan, Zsolt Varady ketika berucap di hadapan penunjuk perasaan di sini kelmarin.
Media Hungary melaporkan, protes tersebut disertai antara 35,000 hingga 40,000 orang.
Kerajaan Hungary mengumumkan rancangan tersebut minggu lalu tanpa berunding dengan pemain industri di negara itu mahu pun berbincang bersama anggota Parlimen parti politik pimpinannya, Fidesz.
Antara alasan yang diberikan kerajaan Hungary untuk melaksanakan cukai internet termasuk menggunakan hasil baharu itu untuk meningkatkan akses internet di kawasan pedalaman.
Mengulas cukai kontroversi itu, jurucakap Suruhanjaya Digital Kesatuan Eropah, Neelie Kroes berkata, rancangan Orban itu “pada dasarnya tidak bagus” dan boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3HZh5oifg 
Hakcipta terpelihara 

Hina Jokowi, tukang cucuk sate ingin minta maaf

Mursidah
Mursidah
30 Oktober 2014 1:53 AM
JAKARTA 29 Okt. – Keluarga tukang cucuk sate yang ditahan polis Indonesia kerana menghina Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di akaun Facebook peribadinya berhasrat menemui Jokowi untuk meminta maaf.
Seandainya diizinkan, keluarga suspek yang dikenali sebagai MA itu juga mahu bersimpuh di kaki Presiden Indonesia itu untuk merayu dan meminta supaya anaknya dibebaskan.
Menurut peguam yang dilantik keluarga MA, Irfan Fahmi, anak guamnya itu tidak mengetahui tindakannya boleh menyebabkan dia dibawa ke muka pengadilan.
“Kalau diizinkan, keluarga MA mahu bertemu Presiden Jokowi dan ingin sujud meminta maaf supaya MA dibebaskan dan segera pulang ke rumah kerana dia merupakan harapan keluarga,” kata Irfan kepada media tempatan.
Irfan berkata, ibu pemuda itu, Mursidah yang bekerja sebagai pengupas bawang di Pasar Kramat Jati, Jakarta Timur juga berhasrat ke Istana Negara untuk bertemu Presiden Jokowi bagi menyampaikan permohonan maaf dan kekesalan bagi pihak anaknya.
Bagaimanapun, Irfan menjelaskan, beliau belum tahu bila Mursidah akan berbuat demikian.
Irfan berkata, tindakan MA menghina Presiden Jokowi dalam Facebook adalah kerana terpengaruh dengan kempen memburuk-burukkan calon Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) pada Julai lalu.
Katanya, anak guamnya itu memuat naik beberapa foto yang diambilnya daripada pengguna Internet yang lain beserta tulisan yang berbaur penghinaan kepada Jokowi.
“Dia (MA) terikut-ikut sahaja perbuatan orang lain dan terjebak dalam situasi politik saat itu,” kata Irfan.
Irfan turut menegaskan, MA tidak tahu tindakan memburuk-burukkan pemimpin boleh menyebabkan seseorang itu dipenjarakan sehingga 10 tahun jika didapati bersalah melanggar Undang-Undang Informasi dan Transksasi Elektronik (UU ITE) dan Undang-Undang Pornografi.
MA yang bekerja sebagai tukang cucuk sate ditahan polis ada 23 Oktober lalu di rumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis di sini. – UTUSAN

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hina-jokowi-tukang-cucuk-sate-ingin-minta-maaf-1.18430#sthash.uv73Ceo2.dpuf

Christian Bale 
hina Nabi Musa

Christian Bale
LOS ANGELES 29 Okt. – Pelakon kelahiran Britain, Christian Bale mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan Nabi Musa sebagai individu yang kejam dan mengalami sakit jiwa.Kenyataan Bale yang memegang watak utama sebagai Nabi Musa dalam filem Moses in Exodus: Of Gods and Kings arahan Ridley Scott itu sekali gus menyentuh sensitivi agama khasnya penganut agama Kristian.Bercakap semasa sidang media di sini bulan lalu, Bale berkata, dia telah membuat kajian mendalam bagi watak itu termasuk membaca Taurat, al-Quran dan kisah kehidupan Nabi Musa karya Jonathan Kirsch.

“Saya beranggapan lelaki itu mungkin gila dan satu daripada individu paling kejam yang pernah saya baca dalam hidup saya,’’ kata­nya sebagaimana lapor Mail Online.
Pengasas pertubuhan Faith Driven Consumer, Chris Stone berkata, dia terkejut dengan gambaran Bale tentang Nabi Musa.
“Apa yang dikatakan pelakon itu tidak dapat diterima masyarakat terutamanya penganut Kristian,’’ katanya.
Kebanyakan pengulas memberi kritikan serupa kepada pengarah filem Noah, Darren Aronofsky yang dibintangi Russell Crowe dan diterbitkan awal tahun ini. - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/christian-bale-8232-hina-nabi-musa-1.18417#sthash.eAQshlTz.dpuf

Tragedi MH17: Rusia 
diminta serah bukti

GAMBAR fail bertarikh 17 Julai lalu, menunjukkan seorang lelaki
30 Oktober 2014 1:53 AM

GAMBAR fail bertarikh 17 Julai lalu, menunjukkan seorang lelaki bersenjata meninjau lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh di kampung Grabove, timur Ukraine. – AGENSI

AMSTERDAM 29 Okt. – Pasukan penyiasat Belanda meminta Rusia menyerahkan data radar sebagai bukti yang menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine dikesan terbang pada masa dan laluan yang sama digunakan oleh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ketika pesawat penumpang itu ditembak jatuh.Ketua pasukan penyiasat, Fred Westerbeke ketika ditemubual oleh majalah Der Spiegel berkata, pihaknya sedia membantu Rusia mendapatkan maklumat radar tersebut selepas Moscow menuduh Ukraine menghantar pesawat pejuang untuk menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.Bagaimanapun menurut Westerbeke, siasatan yang dijalankan setakat ini menolak kemungkinan yang menunjukkan insiden tersebut sebagai satu kemalangan atau serangan pengganas.Jelasnya, pesawat MH17 mungkin ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) atau pesawat lain ekoran laporan siasatan sebelum ini mendedahkan kesan kapal terbang komersial itu ditembusi objek berkelajuan tinggi dari luar.“Kami juga masih menunggu imej satelit daripada Amerika Syarikat (AS) yang mungkin boleh membantu merungkai misteri tragedi MH17.“Kami meminta semua pihak agar bersabar dengan siasatan ini yang dijangka memakan masa sehingga tahun depan atau lebih lama lagi,” katanya.Laporan awal yang disiarkan pada bulan lalu juga tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa pesawat MH17 terhempas akibat masalah teknikal atau kesilapan manusia.Insiden pada 17 Julai itu menyaksikan semua 298 krew dan penumpang, kebanyakannya rakyat Belanda terbunuh apabila terhempas di timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tragedi-mh17-rusia-8232-diminta-serah-bukti-1.18425#sthash.saon6bHu.dpuf