Mursidah |
JAKARTA 29 Okt. – Keluarga tukang cucuk sate yang ditahan polis Indonesia kerana menghina Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di akaun Facebook peribadinya berhasrat menemui Jokowi untuk meminta maaf.
Seandainya diizinkan, keluarga suspek yang dikenali sebagai MA itu juga mahu bersimpuh di kaki Presiden Indonesia itu untuk merayu dan meminta supaya anaknya dibebaskan.
Menurut peguam yang dilantik keluarga MA, Irfan Fahmi, anak guamnya itu tidak mengetahui tindakannya boleh menyebabkan dia dibawa ke muka pengadilan.
“Kalau diizinkan, keluarga MA mahu bertemu Presiden Jokowi dan ingin sujud meminta maaf supaya MA dibebaskan dan segera pulang ke rumah kerana dia merupakan harapan keluarga,” kata Irfan kepada media tempatan.
Irfan berkata, ibu pemuda itu, Mursidah yang bekerja sebagai pengupas bawang di Pasar Kramat Jati, Jakarta Timur juga berhasrat ke Istana Negara untuk bertemu Presiden Jokowi bagi menyampaikan permohonan maaf dan kekesalan bagi pihak anaknya.
Bagaimanapun, Irfan menjelaskan, beliau belum tahu bila Mursidah akan berbuat demikian.
Irfan berkata, tindakan MA menghina Presiden Jokowi dalam Facebook adalah kerana terpengaruh dengan kempen memburuk-burukkan calon Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) pada Julai lalu.
Katanya, anak guamnya itu memuat naik beberapa foto yang diambilnya daripada pengguna Internet yang lain beserta tulisan yang berbaur penghinaan kepada Jokowi.
“Dia (MA) terikut-ikut sahaja perbuatan orang lain dan terjebak dalam situasi politik saat itu,” kata Irfan.
Irfan turut menegaskan, MA tidak tahu tindakan memburuk-burukkan pemimpin boleh menyebabkan seseorang itu dipenjarakan sehingga 10 tahun jika didapati bersalah melanggar Undang-Undang Informasi dan Transksasi Elektronik (UU ITE) dan Undang-Undang Pornografi.
MA yang bekerja sebagai tukang cucuk sate ditahan polis ada 23 Oktober lalu di rumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis di sini. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hina-jokowi-tukang-cucuk-sate-ingin-minta-maaf-1.18430#sthash.uv73Ceo2.dpuf
No comments:
Post a Comment