BUDAPEST – Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan berarak di ibu kota Hungary di sini kelmarin kerana membantah rancangan kerajaan mengenakan cukai ke atas penggunaan internet bermula 2015.
Protes kedua sejak tiga lalu itu turut membayangkan perasaan tidak puas hati rakyat terutamanya golongan belia terhadap dasar Perdana Menteri Viktor Orban untuk meluaskan kuasa kerajaan sehingga menjejaskan sektor swasta.
Beberapa pemimpin penunjuk perasaan ketika berucap di luar Kementerian Ekonomi, menggesa Orban membatalkan rancangan untuk memaksa pembekal perkhidmatan internet membayar cukai bulanan sebanyak 700 forint (RM9.45) untuk pelanggan individu dan 5,000 forint (RM67.50) bagi entiti perniagaan.
Mereka mendakwa, cukai tersebut tidak akan diserap oleh pembekal internet seperti yang didakwa oleh kerajaan.
“Jumlah cukai internet yang ideal bukannya 700 atau 5,000 forint tetapi sifar,” kata seorang usahawan internet tempatan, Zsolt Varady ketika berucap di hadapan penunjuk perasaan di sini kelmarin.
Media Hungary melaporkan, protes tersebut disertai antara 35,000 hingga 40,000 orang.
Kerajaan Hungary mengumumkan rancangan tersebut minggu lalu tanpa berunding dengan pemain industri di negara itu mahu pun berbincang bersama anggota Parlimen parti politik pimpinannya, Fidesz.
Antara alasan yang diberikan kerajaan Hungary untuk melaksanakan cukai internet termasuk menggunakan hasil baharu itu untuk meningkatkan akses internet di kawasan pedalaman.
Mengulas cukai kontroversi itu, jurucakap Suruhanjaya Digital Kesatuan Eropah, Neelie Kroes berkata, rancangan Orban itu “pada dasarnya tidak bagus” dan boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi. – AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3HZh5oifg
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment