Thursday, May 7, 2015

Pekedai Islam Xinjiang diarah jual arak


Penduduk Islam etnik Uighur di Xinjiang sering ditindas kerajaan
Penduduk Islam etnik Uighur di Xinjiang sering ditindas kerajaan China termasuklah dilarang berpuasa, menyimpan janggut, dan yang terbaharu pekedai Islam diarah menjual arak. AGENSI
XINJIANG 6 Mei – Kedai dan restoran milik peniaga Islam di sebuah perkampungan, di sini diarah untuk menjual minuman keras serta rokok atau bakal berdepan pendakwaan dan kedai mereka boleh ditutup jika gagal berbuat demikian.
Laman web International Business Times memetik kenyataan Radio Free Asia (RFA) semalam sebagai berkata, bentuk penindasan terbaharu terhadap penduduk Islam di wilayah Xinjiang itu, bertujuan mengurangkan pengaruh agama berkenaan di barat laut China.
Pihak berkuasa Majlis Perbandaran Laskuy mengeluarkan notis kepada penduduk di Kampung Aktash minggu lalu yang mengarahkan restoran dan pasar raya di kampung berkenaan perlu menjual lima jenama minuman keras dan rokok sebelum 1 Mei lalu.
Selain itu, peniaga turut diarah untuk mempromosikan barangan dalam bentuk yang menarik.
“Mana-mana peniaga yang enggan mengikuti arahan akan menyebabkan kedai mereka ditutup dan digantung, selain berdepan tindakan undang-undang.
“Peraturan ini merupakan arahan daripada pemimpin tertinggi parti pemerintah Parti Komunis,” jelas notis berkenaan.
Arahan tersebut merupakan tindakan terbaharu China dalam kempen yang disifatkan sebagai mahu menghapuskan pelampau agama dan melemahkan pengaruh Islam di barat laut negara ini.
Setiausaha Jawatankuasa Kampung Aktash, Adil Sulayman berkata, notis tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kempen melemahkan Islam yang dijalankan oleh kerajaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pekedai-islam-xinjiang-diarah-jual-arak-1.88858#sthash.2wAnBHNV.dpuf

Wednesday, May 6, 2015

Penduduk berang, serang perhimpunan PAS

RABU, 6 MEI 2015 @ 6:03 PM

Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

KEKECOHAN ketika sekumpulan ahli PAS mengadakan perhimpunan aman berhampiran Masjid Kubang Semang, Penanti hari ini. - Foto Mikail Ong

BUKIT MERTAJAM: Perhimpunan aman sekumpulan ahli PAS kecoh selepas kehadiran mereka tidak disenangi penduduk setempat di Kubang Semang di sini. Malah, penduduk turut bertindak agresif dengan mematahkan sepanduk dan merosakkan alat pembesar suara yang dibawa ahli PAS berkenaan. Situasi bertambah buruk apabila kumpulan ahli PAS terbabit turut dibelasah oleh beberapa individu tidak dikenali. Perhimpunan itu yang disertai kira-kira 20 ahli PAS, diadakan sebagai tanda protes terhadap tindakan kepimpinan PKR dan DAP yang menolak pelaksanaan hudud.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53273

"Tiada Peluang Kedua Untuk Nur Fitri," Kata KJ Kepada Mara


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 2:05 PM
Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah bersuara terhadap tawaran peluang kedua kepada pelajar Malaysia di London yang bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Khairy berkata Nur Fitri Azmeer Nordin, yang ditahan pada November bagi kesalahan itu boleh berusaha mendapatkan peluang kedua untuk dirinya sendiri tanpa tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas menjalani hukuman penjara dan pemulihan yang panjang 'paedo' boleh usahakan peluang kedua by himself. Tak perlu tajaan MARA etc," Khairy menulis di akaun Twiiternya, Rabu.

Menggunakan hashtag #NoSecondChance , yang menjadi topik trending di Twitter, Khairy memberi amaran kepada Mara berhubung pembaziran dana awam.

"Harap MARA tidak membazir duit rakyat," katanya.

Mara, yang menaja pengajian Nur Fitri di Britain, dilaporkan berkata akan menawarkan peluang kepada Nur Fitri untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan.

Nur Fitri, seorang sarjana matematik berusia 23 tahun di Imperial College di London, didapati bersalah memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video ekstrem pornografi kanak-kanak.

Dia diserbu di bilik kediamannya di Queensborough Terrace November lalu, di mana polis menemui komputer ribanya sedang terbuka, di sebelah patung kanak-kanak lelaki bersaiz sebenar.

Dia memiliki 601 video dan imej kategori A (penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual melampau kanak-kanak), dan beribu-ribu bahan kategori B dan bahan C.

Satu petisyen juga telah dimulakan di www.petitionsite.com oleh pengguna yang dikenali sebagai Hanie Razaif-Bohlender menuntut badan milik kerajaan tidak memberikan peluang kedua.

Pada tengah hari, petisyen itu telah mendapat lebih dari 1,000 tandatangan.

Kak Wan Optimis Sejarah Berulang

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 2:30 PM


MESRA dengan panggilan Kak Wan, figura ini cukup terkenal di kalangan pengundi di Pematang Pauh.
Tidak kira tua atau muda, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini kembali menawarkan diri untuk berkihidmat di kawasan Permatang Pauh dilihat begitu serasi dan mesra ketika turun berkempen menemui penduduk tempatan.
Bagaimanapun dalam keceriannya, Dr Wan Azizah optimis untuk menyambung khidmat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh khususnya dalam membela nasib rakyat selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ikuti temubual ringkas mStar Online bersama Dr Wan Azizah yang kelihatan yakin untuk mempertahankan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh sejak 17 tahun lalu.
mStar Online: Bagaimana mood kempen dalam tempoh berbaki kurang 48 jam ini?
Dr Wan Azizah: Alhamdulillah kempen kita mendapat sambutan baik di kalangan rakyat. Pengundi memahami mengapa Kak Wan kembali bertanding dan petugas-petugas kita bersemangat untuk mengekalkan kerusi Permatang Pauh.
mStar Online: Apa kerisauan yang timbul setakat ini?
Dr Wan Azizah: Provokasi BN menerusi media arus perdana adalah perkara biasa yang harus kita lalui. Kita bersyukur kerana sejak awal lagi usaha-usaha provokasi, termasuk usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat tidak berhasil. Kita mendapat kerjasama PAS dan DAP. Rakyat Permatang Pauh sudah matang dan tidak termakan dengan provokasi. Kita berada dalam 'good spirit'. InsyaAllah.
mStar Online: Apa masalah atau rungutan yang paling banyak diterima sewaktu kempen?
Dr Wan Azizah: Sepanjang kempen, Kak Wan banyak bertemu dengan kaum wanita yang kebanyakannya suri rumah, juga golongan pekerja.Mereka banyak rungutan mengenai masalah kehidupan, kenaikan harga barang keperluan, terutama sekali mereka tidak selesa dengan  GST.
mStar Online: Bagaimana penerimaan pengundi untuk Datuk Seri kembali berkhidmat di Permatang Pauh?
Dr Wan Azizah: Alhamdulillah rakyat menerima Kak Wan kembali bertugas. Mereka masih ingat jasa Anwar Ibrahim dan simpati dengan nasib beliau yang dipenjarakan. Kadang kala terpaksa memanjang tempoh kempen di sesuatu tempat kerana ramai yang mahu berjumpa, bertanya khabar dan bergambar dengan Kak Wan.
mStar Online: Seruan Datuk Seri kepada pengundi luar serta pengundi dalam kawasan?
Dr Wan Azizah: Kak Wan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang duduk di luar kawasan. Menerusi SMS, mereka memberi maklum balas yang positif, bahawa mereka mengatakan bahawa mereka akan pulang mengundi. Setiap undi adalah penting dan kita dihargai.
mStar Online: Apa harapan Datuk Seri dalam PRK kali ini? Peluang untuk menang?
Dr Wan Azizah: InsyaAllah, dengan sokongan PAS dan DAP di Pulau Pinang, kita akan kekalkan kemenangan. InsyaAllah kita akan membawa amanah rakyat dan memperjuangkan isu GST di Parlimen.
mStar Online: Apa kelebihan Datuk Seri sebagai calon PKR dan Pakatan berbanding calon BN?
Dr Wan Azizah: Kak Wan sudah biasa dengan penduduk Permatang Pauh dan sekitar Bukit Mertajam sejak sebelum Anwar menjadi wakil rakyat pada 1982 lagi, tambahan pula kerajaan Pulau Pinang, dikuasai Pakatan Rakyat. Oleh itu, InsyaAllah berbekalkan pengalaman yang ada serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kita yakin dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat di Permatang Pauh. Pengundi Permatang Pauh pada penggal-penggal yang lepas telah memilih saya tatkala saya bertanding. InsyaAllah, sejarah akan berulang.

BN Hilang Majoriti Di Rompin Kerana GST, Peningkatan Kos Sara Hidup - Dr M


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 4:12 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang meningkat antara faktor Barisan Nasional (BN) hilang majoriti di Rompin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu menafikan dirinya mempengaruhi penurunan majoriti BN dan berkata isu yang saling berkait rapat itu benar-benar membebankan orang ramai.

"Saya bukan faktor.

"Orang-orang di Rompin lebih mengambil berat tentang isu-isu seperti GST dan kos sara hidup.

"Isu-isu seperti 1MDB tidak memberi makna kepada orang kampung, mereka tidak tahu mengenainya. Mereka tidak dapat bayangkan pun berapa banyak RM42 bilion, bagi mereka RM1 juta atau RM1 bilion adalah sama.

"Bagaimanapun, kuasa beli rakyat menjadi lebih rendah hari ini, dan ia ditambah lagi dengan GST, yang mengurangkan pendapatan mereka," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas berucap pada Wacana Perdana Siri ke-19 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan BN mempunyai sesuatu yang boleh dipelajari dari Rompin, terutama mengenai nasib rakyat.

"Meningkatkan gaji minimum untuk menyelesaikan masalah ini mungkin menyebabkan kos sara hidup naik. Kerajaan perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan dan Rompin telah mengajar mereka," katanya.

BN memenangi PRK Rompin pada Selasa, tetapi dengan majoriti berkurangan berbanding pilihan raya umum lepas.

Mengenai peluang BN dalam PRK Pauh, Dr Mahathir berkata, Pakatan Rakyat akan menang dengan majoriti yang lebih sedikit dengan berlaku perbalahan dalaman.

"Saya fikir sukar untuk BN menang, walaupun pembangkang berbalah.

"Pembangkang masih akan menang, tetapi dengan margin yang lebih kecil," katanya.

Khalid Sifatkan Kenyataan Azmin Melampau


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 8:21 PM
Khalid Abu Bakar

BUKIT MERTAJAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang didakwa menggelarnya dengan nama kurang elok baru-baru ini, sebagai melampau.

Khalid berkata beliau telah dimaklumkan mengenai dakwaan Mohamed Azmin dan Persatuan Pegawai Kanan Polis ( Cawangan Pegawai Diwartakan) sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada Rabu.

"Negara kita ada undang-undang, dan biarlah undang-undang yang menentukan. Saya juga tidak pasti sama ada kertas siasatan berhubung kes itu dibuka atau tidak.

"Cuma kenapa dia (Mohamed  Azmin) tak tanya saya sendiri mengenai sama ada saya 'barua UMNO' atau tidak? Kenapa tanya orang Permatang Pauh?" katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) disini, Rabu.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor didakwa menggelar Khalid sebagai 'barua UMNO' dalam satu ceramah di Permatang Pauh, baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau sedih dengan kenyataan itu, Khalid berkata: "Kamu (wartawan) pun tahu saya sudah banyak kali dikecam seperti ini. Tapi, bagi saya kenyataan Mohamed Azmin kali ini adalah melampau," katanya. -BERNAMA

Polis Buat Laporan Kenyataan 'Barua' Azmin Terhadap KPN


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 3:35 PM
Azmin Ali

PETALING JAYA: Tiga laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Besar Selangor Azmin Ali berhubung perkataan yang digunakan terhadap Ketua Polis Negara yang yang didakwa menghina.

Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis (cawangan pegawai diwartakan), Datuk Shah Gzali Khan Shahadad berkata Timbalan Presiden PKR mendakwa Tan Sri Khalid Abu Bakar dilabel sebagai 'bacul', 'pencacai' dan juga 'barua Umno'.

"Perkataan 'barua' perkataan adalah perkataan kesat, yang bermaksud perantara yang digunakan untuk sesuatu perbuatan jahat.

"Seluruh warga polis PDRM amat terguris dengan kenyataan ini kerana ketua polis negara adalah sebuah institusi, dan penghinaan sebegini bererti seluruh institusi PDRM adalah barua politik," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Beliau menambah, kenyataan menghina mempunyai kesan yang mendalam kepada semua polis di semua peringkat dan lapisan.

"Sebagai seorang menteri besar yang berpendidikan dan berjawatan tinggi, tidak wajar Azmin menggunakan kata-kata yang sebegitu jelik dan kesat terhadap sesama manusia.

"Tidak seharusnya ceramah politik digunakan bagi tujuan menghasut dan menghina, apatah lagi sebagai platform mencetuskan kebencian masyarakat supaya menentang polis," katanya.

Jelasnya, polis tidak pernah campur tangan dalam hal-hal politik dan mereka tidak pernah berkiblatkan kepada mana-mana parti politik.

"Ia ditunjukkan melalui perkhidmatan profesional dan kerjasama di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

"Tugas kami adalah untuk melindungi negara ini supaya ia bebas daripada sebarang ancaman," katanya.

Beliau berkata, perbuatan mengambil jalan keluar dengan kata-kata kesat dan menghina merupakan langkah terdesak.

"Walaupun kemarahan kita adalah jelas, PDRM tidak membuat kenyataan balas serta merta sebaik sahaja kata-kata cacian tersebut dilaporkan di media sosial kerana ia beranggapan mungkin kata-kata tersebut disalah rujuk atau disalah tafsir.

"Walau bagaimanapun, apabila beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk" membetulkan "apa-apa salah-petik, ia adalah jelas bahawa dia telah berkata sesungguhnya kata-kata itu untuk kepentingan politik," katanya.

"Seluruh warga PDRM mengecam keras tindakan Azmin. Mencaci dan menyelar ketua polis negara bererti mencaci dan menyelar seluruh institusi PDRM yang menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat, tanpa berkiblatkan fahaman politik, bangsa ataupun agama.

Seluar Terlondeh Ketika Cuba 'Selfie' Bersama Timbalan Perdana Menteri UK


Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2015 8:28 AM

SEORANG remaja lelaki terpaksa menanggung malu apabila seluarnya terlondeh semasa cuba bergambar 'selfie' bersama Timbalan Perdana Menteri United Kingdom, Nick Clegg.
Portal Mail Online melaporkan William Carrie, 17, meminta timbalan perdana menteri itu untuk bergambar bersama di luar Kolej Solihull tengah hari Jumaat.
Bagaimanapun seluar jeans yang dipakai William terlondeh sehingga ke paras lutut semasa Clegg berdiri rapat dengannya untuk bergambar.
Clegg kemudiannya mengangkat tangan dan berlalu menuju ke sebuah bas.
Keadaan yang tidak disangka itu membuatkan muka William merah padam.
Bercakap kepada Mail Online petang Jumaat, pelajar Solihull menegaskan kejadian memalukan itu sebagai satu 'keadaan yang tidak disengajakan'.
William berkata, dia menuju ke kolej untuk berjumpa dengan rakannya sewaktu bertemu dengan Clegg tanpa menyedari timbalan perdana menteri itu sedang membuat lawatan.
"Saya menghampirinya untuk mengambil gambar kerana saya suka berjumpa dengan selebriti. Tetapi sebaik sahaja saya mahu mengambil gambar 'selfie', seluar saya terlondeh," katanya.
Tambah William, seluar jeans itu yang dipakainya sejak beberapa tahun.
Menurut William, dia perlu mendapatkan sepasang seluar yang baharu.
"Saya berasa sangat malu kerana kejadian yang berlaku benar-benar memalukan. Semua rakan mentertawakan saya dan ramai yang merakamkan kejadian yang berlaku," katanya. 
Clegg berjenaka mengenai kejadian yang berlaku di akaun twitternya.
William bagaimanapun bernasib baik kerana dia memakai seluar pendek "boxer' hitam di bahagian dalam ketika kejadian berlaku.
"Ia memang lucu tetapi ia benar-benar tidak disengajakan. Saya tidak pernah melakukan perkara seperti itu dengan sengaja.
"Saya mahu mohon maaf kepada Nick Clegg secara peribadi. Saya hanya mahu mengambil gambar bersamanya dan saya fikir beliau mungkin marah," jelas William.
Bagaimanapun, Clegg melihat perkara itu dengan berbuat jenaka menerusi kenyataannya di Twitter: "Ada segelintir yang tidak mengendahkan amaran saya supaya mengetatkan tali pinggang." - MAIL ONLINE

Amah dilarang ke Timur Tengah

Amah dilarang ke Timur Tengah
Ahli keluarga Siti Zainab, salah seorang pembantu rumah yang dihukum mati memegang gambarnya di rumah mereka di Bangkalan, Jawa Timur.

JAKARTA - INDONESIA . Kerajaan Indonesia akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke 12 negara Timur Tengah, susulan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua wanita negara itu di Arab Saudi.

Menteri Tenaga Manusia, Hanif Dhakiri dalam laman web kementerian itu berkata, larangan akan dikenakan ke atas pekerja yang mahu bekerja untuk majikan individu atau keluarga, dan bukannya syarikat.

"Sebab paling penting adalah masih terdapat kekurangan peraturan standard di negara berkenaan menyebabkan pekerja Indonesia di pihak yang rugi. Mereka yang bekerja di Timur Tengah sering mendapat layanan buruk dan upah yang rendah," katanya.

Menurutnya lagi, antara negara terkesan dengan larangan itu termasuk Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Mesir dan Saudi yang juga merupakan destinasi utama bagi pembantu rumah Indonesia.

Hanif berkata, kerajaan mempunyai kuasa melarang penempatan di negara tertentu jika pekerjaan terbabit dianggap boleh menjatuhkan maruah seseorang dan negara.

Difahamkan, langkah itu adalah kekal. Namun, bagi pembantu rumah yang sedang bekerja di negara terlibat akan dibenarkan untuk terus tinggal dan meneruskan pekerjaan mereka. - dpa

Henti hantar amah ke negara Asia Barat


Jakarta: Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke 21 negara Asia Barat berikutan pelaksanaan hukuman pancung ke atas dua wanita negara itu di Arab Saudi yang mencetuskan kemarahan Jakarta.
Antara negara yang termasuk dalam senarai itu yang akan dikuatkuasakan dalam masa tiga bulan ini ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Mesir, kata Menteri Tenaga Manusia Hanif Dhakiri.
Jakarta yang sudah sekian lama menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan buruk ke atas pembantu rumah rakyatnya sebelum ini menggantung penghantaran amah ke Arab Saudi pada 2011 berikutan hukuman serupa ke atas seorang pekerja.
Katanya, pembantu rumah yang sedang bekerja di negara itu akan dibenarkan terus bekerja.
Indonesia menyuarakan kemarahan terhadap hukuman mati ke atas warganya meskipun Jakarta minggu lalu melaksanakan hukuman tembak ke atas tujuh pesalah dadah warga asing yang mengundang kecaman antarabangsa.
“Menurut undang-undang, kerajaan berkuasa menghentikan penghantaran pekerja, khususnya ke negara yang ia percaya boleh mendatangkan penghinaan kepada rakyat dan maruah negara,” kata Hanif.
Katanya, Indonesia juga akan mengetatkan peraturan penghantaran amah ke negara di Asia Pasifik. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48808#sthash.EtopMsuh.dpuf

Pertandingan biadab dikecam

Imam-Moujahed-Bakhach-2TEXAS 5 Mei - Seorang imam terkenal di negeri ini mengecam penganjuran pertandingan melukis gambar kartun Nabi Muhammad SAW di Garland kelmarin, yang menyaksikan dua orang penyerang ditembak mati polis selepas melepaskan tembakan ke arah bangunan lokasi pertandingan itu berlangsung.
Imam Moujahed Bak­hach nyata kecewa dengan penganjur pertandingan itu termasuk penulis blog anti-Islam, Pam Geller yang didakwa berselindung di sebalik Pindaan Pertama Amerika Syarikat (AS) dan kebebasan bersuara.
“Apa yang (Nabi) Muhammad) lakukan kepada wanita ini? Dia bersembunyi di sebalik Pindaan Pertama dan kebebasan bersuara untuk menghina Islam. Apa yang Baginda lakukan kepadanya. Saya tidak boleh mempercayainya dan saya tidak boleh faham,’’ katanya sebagaimana lapor por­tal Dallas Morning News.
Menurut Moujahed, penduduk Islam tahu tentang agenda pertubuhan bukan kerajaan itu yang dikenali sebagai American Freedom Defense Initiative dengan menawarkan hadiah sebanyak AS$10,000 (RM36,008) kepada pemenang.
“Kami tahu agenda mereka dan semoga Tuhan akan memaafkan mereka dan memimpin mereka ke arah keamanan,’’ katanya merujuk kepada masyarakat Islam di Texas Utara yang semakin berkembang sejak 20 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR) turut mengecam serangan itu.
“Kami mengutuk serangan anti-Islam di Garland, Texas tanpa sebarang keraguan,’’ kata pertubuhan hak asasi Islam itu dalam satu kenyataan.
Semalam, dua lelaki bersenjata ditembak mati polis selepas melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan di luar bangunan Curtis Culwell Center yang dijadikan tempat pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW.
Dua lelaki bersenjata itu dikenali sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi dan kedua-dua penyerang itu merupakan rakan sebilik dari Phoenix, lapor portal PressTV.
Menurut dua sumber yang tidak mahu didedahkan, Simpson diletakkan di bawah pemerhatian pihak berkuasa sejak 2006 dan disabitkan atas kesalahan menipu ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada 2011 dengan menyatakan hasratnya untuk menyertai kumpulan bersenjata di Somalia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pertandingan-biadab-dikecam-1.88232#sthash.pjbZ8W6U.dpuf

Tuesday, May 5, 2015

Ditumbuk selepas jawab berkenaan hudud

Permatang Pauh: Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA negeri , Gui Guat Lye, dakwa ditumbuk seorang lelaki tidak dikenali selepas mengiringi Exco Kedah, Dr. Leong Weng Kuang di Taman Kelisa Emas, sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Weng Kuang baru selesai berceramah di atas lori dan bersalaman dengan lebih 30 penyokong di situ sebelum dihampiri tiga lelaki tidak dikenali.
Guat Lye berkata, dia berada berhampiran Weng Kuang ketika itu dan tiga lelaki berkenaan bertanyakan soalan berkenaan hudud kepadanya.
"Ketika menjawab soalam yang diajukan dan pendirian BN mengenai isu itu, mereka tidak berpuas hati sebelum berlaku pertengkaran.
"Saya cuba meleraikan pergaduhan sebelum seorang daripada mereka menumbuk saya menyebabkan saya terjatuh dan mengalami luka di tangan," katanya.
Menurutnya, mereka kemudian mengambil batang kayu dan kerusi plastik dan cuba memukul saya namun dihalang.
Katanya, pergaduhan berkenaan kemudian dapat dileraikan sebelum dia membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Mertajam.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 11:31 AM


FOTO Shamsul Munir Safini
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48621#sthash.zA8RZlVk.dpuf

Kathmandu makin pulih

PENGANUT Buddha membakar colok ketika sambutan Wesak di Kathmandu, semalam.

Kathmandu: Pekerja penyelamat asing digesa meninggalkan Kathmandu berikutan kerja menyelamat di bandar itu dan kawasan sekitar sudah banyak diselesaikan serta mampu ditangani pekerja tempatan.
Menteri Penerangan Minendra Rijal bagaimanapun mengakui bantuan asing mungkin masih diperlukan untuk bekerjasama dengan polis serta tentera penyelamat tempatan di kawasan pedalaman dan pergunungan terpencil.
Dia turut mengakui negaranya akan memerlukan sokongan antarabangsa yang kuat bagi membolehkan Nepal membina semula bandarnya yang musnah akibat gempa bumi 25 April lalu itu.
Tempoh serius pembinaan semula mengambil masa dua hingga tiga minggu. Biarpun anggaran kerosakan masih belum dapat dipastikan dan pasti membabitkan kos yang sangat besar.
Sejak gempa bumi itu, 4,050 pekerja penyelamat dari 34 negara diterbangkan ke Nepal bagi membantu dalam operasi menyelamat selain menyediakan bantuan perubatan kecemasan, makanan dan keperluan lain.
Kelmarin, pihak berkuasa terpaksa menutup sementara lapangan terbang utama di Kathmandu kepada pesawat besar berikutan keretakan pada landasan.
Ini berikutan lapangan terbang itu dibina hanya untuk mengendalikan pesawat bersaiz sederhana.
Dalam pada itu, ratusan orang dilaporkan mengadakan upacara keagamaan sempena perayaan Wesak.
Penganut Buddha, Santa Lama, 60, berkata: “Saya mendoakan ketenangan kepada ribuan mangsa yang terkorban. Semoga negara ini diberikan keamanan dan ketenteraman.”
Pihak polis melaporkan, angka kematian akibat gempa bumi terburuk Nepal sepanjang tempoh 80 tahun meningkat kepada 7,276.
Sebahagian daripada struktur yang dibina seawal abad kelima turut rosak ketika gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:14 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48525#sthash.E3GhsQeT.dpuf

Dua mati bantah karikatur Nabi

Dua mati bantah karikatur Nabi
Polis lengkap bersenjata mengawal lokasi pertandingan karikatur Nabi di Garland. - Foto EPA

TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Dua lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di lokasi peraduan melukis karikatur Nabi Muhammad SAW di Dallas, Amerika Syarikat, ditembak mati semalam.

Insiden itu berlaku di luar bangunan Curtis Culwell Center di Garland. Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan terkena tembakan pada bahagian kaki.

"Pihak polis telas membalas tembakan dan menyebabkan kedua-duanya mati di tempat kejadian.

"Unit pemusnah bom turut dipanggil bagi memeriksa sama ada terdapat bahan letupan dalam kenderaan dinaiki dua lelaki berkenaan," kata jurucakap polis.

Peraduan melukis karikatur Nabi itu dianjurkan oleh pertubuhan kontroversi berpangkalan di New York, American Freedom Defense Initiative (AFDI).

AFDI menawarkan ganjaran bernilai AS$10,000 (RM36,000) bagi karikatur terbaik yang menggambarkan Nabi.

Difahamkan pada laporan Press TV, acara berkenaan dirasmikan ahli politik Belanda, Geert Wilders yang dikenali sebagai anti-Islam.

Januari lalu, tindakan majalah satira Perancis, Charlie Hebdo menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW mencetus kemarahan dunia Islam dan kemuncaknya ibu pejabat majalah itu di Paris telah diserang.

Pasangan belum kahwin dilarang naik motosikal bersama di Aceh


AFP - SEORANG lelaki dan wanita menunggang sebuah motosikal di Banda, Aceh semalam.


BANDA, Aceh – Sebuah daerah di Aceh meluluskan undang-undang baharu melarang lelaki dan wanita belum berkahwin daripada bersama menaiki motosikal.
Seorang wakil rakyat, Fauzan Hamzah berkata, anggota-anggota Parlimen daerah Aceh Utara meluluskan peraturan tersebut pada minggu lalu.
“Ia akan dikuatkuasakan dalam tempoh setahun,” kata Fauzan.
“Pasangan belum berkahwin yang duduk dalam ­keadaan rapat di atas motosikal jelas melanggar hukum syarak dan boleh membawa kepada maksiat,” tambahnya.
Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatra merupakan satu-satunya wilayah Indonesia yang dibenarkan ­melaksanakan undang-undang Islam dengan perbuatan homoseks, judi dan minum arak boleh dihukum rotan.
Wilayah itu mula melak­sanakan hukum syarak selepas diberikan kuasa autonomi khas pada 2001 dalam usaha Jakarta menamatkan penentangan puak pemisah.
Langkah terbaharu mela­rang menunggang motosikal bersama yang akan melibatkan lebih 500,000 orang di Aceh Utara dibuat selepas sebuah bandar di Aceh mengharamkan kaum wanita daripada mengangkang semasa membonceng motosikal.
Mereka sebaliknya diminta untuk duduk secara ­men­yamping supaya kelihatan lebih sopan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3ZD543RS4 
Hakcipta terpelihara 

Mat Sabu pula ditahan


KUALA LUMPUR 4 Mei – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang ditahan polis berhubung perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) di ibu negara, Jumaat lalu.
Mohamad Sabu difahamkan datang ke Balai Polis Dang Wangi pada pukul 11.30 pagi, sebelum ditahan setengah jam kemudian mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.
Sebanyak 36 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan tentang perhimpunan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara pada Jumaat lalu.
Antara yang ditahan adalah bekas Pengerusi Bersama Perhimpunan Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Mohd. Hatta Ramli; Setiusaha Agung PKR, Rafizi Ramli serta aktivis sosial, Hishammuddin Rais.
Reman untuk menahan Ambiga, Loke, Arutchelvan dan Hatta telah dimohon polis pada kelmarin namun ditolak oleh mahkamah manakala Rafizi dan Hishammuddin telah dibebaskan pagi semalam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mat-sabu-pula-ditahan-1.87919#sthash.LL0xnPtd.dpuf

Monday, May 4, 2015

Congo larang pemakaian purdah

Congo larang pemakaian purdah
Wanita Islam di Congo dilarang memakai purdah di tempat-tempat awam.

BRAZZAVILLE -  CONGO. Republik Congo mengumumkan larangan pemakaian purdah di tempat-tempat awam.

Pihak berkuasa turut melarang migran beragama Islam menginap di masjid yang terdapat di seluruh negara.

Kerajaan berkata, larangan tersebut sebagai langkah untuk menghalang penyebaran aktiviti keganasan.

Pengumuman tersebut menjadikan Congo sebagai negara pertama di Afrika menguatkuasakan larangan seumpama itu. - BBC