Monday, March 22, 2010

Isu tukar MB provokasi politik






PADANG BESAR 21 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu menyifatkan khabar angin kononnya beliau akan digantikan pada 17 Mac lalu sebagai mengarut dan satu provokasi politik.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menegaskan, isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak tertentu setelah mereka gagal mencapai matlamat politik yang diimpikan.
“Khabar angin digembar-gemburkan kononnya akan berlaku pertukaran Menteri Besar Perlis pada 17 Mac lalu. Pihak itu mendakwa saya tidak sihat. Mereka kata saya tidak sihat, di mana yang tak sihatnya?
“Setakat ini saya tidak ada masalah kesihatan,” katanya
semasa berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Orang Ramai Kampung Beseri Dalam di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor adalah satu-satunya muka baru pada majlis angkat sumpah jawatan Exco bagi penggal 2010-2011 kelmarin manakala tujuh yang lain kekal.
Choo Chor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pertumbuhan Bandar Baru menggantikan ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn.
Pertukaran antara Choo Chor dengan Sun Onn dibuat oleh kerajaan negeri sebagai amalan biasa atas permintaan kepimpinan MCA sendiri.
Sementara itu, Md. Isa secara sinis mengaitkan penyebaran khabar angin itu dengan pihak yang tidak berpuas hati ekoran kelulusan akademiknya yang dilihat ‘rendah’.
“Mungkin pihak itu merasakan pelajaran saya yang bermula di Sekolah Kebangsaan Padang Melangit di sini tidak sesuai untuk menjadi Menteri Besar,” jelasnya dalam nada menyindir.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Perlis tidak terpengaruh dengan khabar angin berkenaan jika disebarkan lagi pada masa depan.

No comments:

Post a Comment