Monday, March 22, 2010

Tindakan persenda Raja-Raja Melayu




JEMPOL 21 Mac - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai cita-citanya dianggap mempersendakan institusi Raja-raja Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembohongan Anwar seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim merupakan isu besar yang tidak boleh dipandang ringan.
''Ini bukan soal mempersendakan, tetapi ini soal besar dengan nama Tuanku sebagai Ketua Negara dan Ketua Angkatan Tentera dilibatkan dalam satu angan- angan politik yang kosong.
''Soalnya kepada kita sekarang ini kerana rakyat tidak boleh ada pemimpin yang ada karakter seperti itu. Ini yang perlu kita lihat dalam aspek sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara 1Malaysia di Felda Pasoh 2 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rais berkata, Anwar harus dikenakan tindakan dengan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat supaya hal-hal seperti ini tidak akan diulangi oleh mana-mana pemimpin politik yang lain.
Jelas beliau, ia dilihat penting dalam memberi pengajaran kepada mana-mana ahli politik supaya mengeluarkan fakta yang tepat dan bukannya mengeluarkan pembohongan untuk meraih sokongan.
"Saya mengulangi bahawa Dewan Rakyat perlu bertindak untuk menjalankan siasatan di bawah satu Jawatankuasa Khas supaya intipati yang didedahkan oleh Zahrain dapat diketahui.
"Ini akan menjadi pengajaran supaya kita tidak akan tunduk kepada kehendak berbohong atau memutar belit.
"Saya berasa dukacita dengan perkara itu sedangkan dia (Anwar) dipandang tinggi oleh pelbagai pihak namun dia sendiri tidak mengamalkan apa yang diperkatakan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment