Monday, March 22, 2010

Pemuda UMNO 3 negeri buat laporan


Pemuda UMNO Selangor yang diketuai oleh Suhaimi Mohd. Ghazali (tengah) menunjukkan surat laporan polis berdasarkan pendedahan Zahrain di Parlimen melibatkan Anwar Ibrahim di Sepang, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 21 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO dari tiga negeri hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor terbabit turut mendesak supaya siasatan dibuat terhadap dakwaan yang Anwar menjaja nama Yang di-Pertuan Agong kononnya memperkenankan beliau sebagai Perdana Menteri keenam jika rancangan membentuk kerajaan 16 September menjadi kenyataan.
Di ibu negara, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Rizalman ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya memandang serius pendedahan tersebut yang bukan sahaja menggemparkan negara malah, merungkai segala penipuan dan sikap tamak pihak pembangkang.
“Kita mahu polis menyiasat dakwaan mengatakan Anwar ada menjaja cerita kononnya Tuanku Mizan Zainal Abidin menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen pembangkang yang melompat parti.
“Perbuatan mengheret institusi diraja ke dalam kancah politik murahan tidak patut dibiarkan,” tegasnya.
Zahrain dalam perbahasan Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendedahkan temberang Anwar kononnya dia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjayakan rancangan mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Antara pembohongan lain yang didedahkan ialah dakwaan Anwar kononnya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia melompat parti sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan pintu belakang.
Di SEPANG, Pergerakan Pemuda UMNO Selangor turut membuat laporan polis berhubung pembongkaran itu menerusi Ketua Pemuda UMNO negeri, Suhaimi Mohd. Ghazali.
Beliau yang diiringi 10 ahli pergerakan itu membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi.
“Tindakan perlu diambil ke atas Anwar jika pendedahan oleh Zahrain itu terbukti benar,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, seramai 40 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Johor membuat laporan polis berhubung isu yang sama di IPD Pontian petang ini.
Laporan tersebut dibuat oleh ketuanya, Mohd. Fadil Muskon pukul 4.30 petang ini.
“Bagi Pemuda UMNO Johor, tindakan Anwar itu tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik kedua-dua institusi tersebut hanya untuk mencapai cita-cita politik beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment