Thursday, April 8, 2010

Episod paling sedih dalam sejarah Parlimen - Junaidi



KUALA LUMPUR 7 April - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jafaar menyifatkan insiden yang berlaku pada sidang Dewan Rakyat sehingga menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan sejam lebih awal hari ini amat menyedihkan dalam sejarah Parlimen negara.
Katanya, sikap Ahli Parlimen yang bertelagah berhubung isu mengemukakan usul bagi merujuk Ahli Parlimen ekoran kenyataan yang dikeluarkan semasa bersidang merugikan masa untuk berbahas perkara yang lebih penting.
"Ia tidak sepatutnya berlaku. Kita rugi satu hari dan sepatutnya ia boleh selesaikan kerja kita hari ini tapi oleh sebab insiden ini kita tidak boleh menyelesaikannya.
"Keseluruhan episod ini sangat menyedihkan dalam sejarah Parlimen negara," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi panas apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada mulanya mengemukakan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap pembangkang semalam.
Ekoran itu, undi belah bahagian telah diadakan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin bersetuju dengan permintaan pembangkang itu namun Tajuddin terselamat daripada dirujuk ke jawatankuasa apabila undian memihak kepadanya.
Pada sesi sebelah petang pula, Dewan Rakyat sekali lagi panas apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said daripada Barisan Nasional (BN) mengemukakan pula usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke jawatankuasa itu kerana tindakannya menyebut perkataan UMNO-Apco berulang kali.
Keputusan itu mendapat bantahan keras Ahli Parlimen pembangkang dan pertelagahan berlaku selama hampir beberapa jam sebelum dewan memutuskan supaya undian suara diadakan bagi menentukan tindakan terhadap Mahfuz.
Undian suara itu kemudian memutuskan Mahfuz dirujuk ke jawatankuasa tersebut dan Wan Junaidi kemudian mengumumkan sidang ditangguh lebih awal dari yang sepatutnya iaitu pada pukul 7.30 petang.
Wan Junaidi berkata, beliau terpaksa bertindak demikian bagi mengelak pertelagahan itu berlarutan.

No comments:

Post a Comment