Thursday, April 8, 2010

Isu APCO: Anwar mahu Istana Negara campur tangan






Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
KUALA LUMPUR, 8 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini meminta campur tangan baginda menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan kontrak khidmat firma APCO Worldwide yang dikaitkan dengan srael.
Ketua Pembangkang itu berkata, beliau telah menghantar surat berkenaan  kepada Istana Negara, petang ini.
Malah Ketua Umum Pakatan itu turut meminta Yang di-Pertuan Agong agar menasihatkan kerajaan supaya membatalkan kesemua kontrak dengan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Israel.
“Saya tidak melihat apa-apa jalan bagi Umno untuk keluar daripada kecelaruan ini.
“Sebab itu saya menulis kepada Yang di-Pertuan Agong dan untuk menyokong inisiatif rakan-rakan saya, Ahli Parlimen PAS, untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan untuk menasihatkan Perdana Menteri agar dengan segera membatalkan kontrak melibatkan APCO dan kepentingan risikan yang ada kaitan dengan Israel,” katanya lagi.
Anwar, yang minggu lalu telah diputuskan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO, bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau menambah, adalah penting bagi kerajaan menamatkan hubungannya dengan APCO dan Asiasoft sebab kedua-dua syarikat berkenaan merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Kelmarin beliau mendakwa kerajaan berhadapan dengan pencerobohan risikan Israel ekoran pembabitan mereka yang berkhidmat sebagai kontraktor di ibu pejabat polis Bukit Aman.
Anwar memberitahu negara tidak harus menjual maruah mereka kepada Israel.
Isnin lalu, PAS juga memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar campur tangan meminta Perdana Menteri supaya membatalkan kontrak mendapatkan khidmat firma APCO Worldwide atas alasan keputusan kerajaan itu boleh membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata, tindakan kerajaan menjalin hubungan dengan APCO seolah-olah mengundang penceroboh untuk menjejaskan kedaulatan negara.
“Perkara ini membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara, namun tindakan Perdana Menteri mendapatkan khidmat APCO seolah-olah mengundang bahaya.
“Setelah kita membawa perkara ini dalam Parlimen dan selepas perbahasan dilakukan, kita bawa perkara ini kepada perhatian Majlis Raja-raja untuk tindakan lanjut.
“Jadi kita telah menyerahkan memorandum mengenai peranan APCO dalam pentadbiran kerajaan Malaysia kepada Majlis Raja-Raja supaya dapat membatalkan kontrak antara kerajaan Malaysia dan firma perunding APCO Worldwide.
“Kita harap Yang di-Pertuan Agong akan campur tangan dan memerintahkan supaya hubungan antara kerajaan Malaysia dengan APCO dapat dibatalkan,” katanya selepas menemui wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Isnin lalu.

No comments:

Post a Comment