Tuesday, April 27, 2010

Kuasa wang punca Barisan menang




SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) kerana ‘kuasa wang’ yang digunakan untuk memancing pengundi dan bukannya atas kredibiliti calonnya, P Kamalanathan. 

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh berkata, BN menabur projek segera semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa yang telah hilang dalam pilihan raya umum yang lalu. 

Menurutnya, amalan rasuah sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor itu berleluasa dan kaedah itu digunakan sepenuhnya bagi mempengaruhi pengundi Hulu Selangor. 

”Sebagai bukti semasa ucapan Presiden BN sewaktu berkempen, beliau telah berjanji sekiranya BN menang, pelbagai peruntukan yang dijanjikan diberikan kepada rakyat Hulu Selangor. 

“Ini jelas mempengaruhi rakyat yang tertipu dengan demokrasi dilaungkan BN,” katanya kepada :Sinar Harian: semalam. 

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua tidak menafikan BN menggunakan ‘kuasa wang’ untuk membeli undi namun menggunakan alasan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. 

Katanya, BN mengambil kesempatan meraih undi menggunakan wang bagi mengaburi rakyat. 

“Mengapa hanya sewaktu pilihan raya begitu banyak janji dengan peruntukan yang besar ditabur di sesuatu kawasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment