PULAU PINANG: Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kerana didakwa melanggar peraturan dewan apabila menyebut perkataan yang disifatkan sebagai berunsur hasutan.
Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.
Jagdeep Singh semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.
Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.
Sementara itu, Azhar ketika ditemui pemberita berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak khuatir terhadap sebarang tindakan yang bakal dikenakan.
"Saya bercakap seperti itu setelah Umno dan BN dihina dan dituduh sebagai rasuah, samseng dan sebagainya dan saya sanggup berhadapan dengan sesiapa pun walaupun dibawa ke mahkamah," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment