Mayat bayi cukup sifat ditemui terapung dalam Sungai Klang
06/05/2010 8:10pm
KUALA LUMPUR 6 Mei – Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui terapung dalam Sungai Klang berhampiran Kampung Sungai Lancung, Subang, dekat sini hari ini.
Mayat bayi malang itu ditemui oleh seorang pemancing warga Indonesia kira-kira 12 tengah hari tadi dengan terdapat kesan lebam di kepala dan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pemancing itu Omar Hussein, 32, menemui mayat bayi tersebut yang dalam keadaan bogel ketika sedang memancing berdekatan sungai itu.
"Apabila menyedari benda terapung dalam sungai itu adalah bayi, lelaki itu bertindak mengangkat dan meletakkan bayi terbabit di tepi sungai sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesan lebam di kepala bayi itu dipercayai berpunca akibat dibawa arus deras.
Zainal Rashid berkata, identiti bayi itu belum dapat dikenal pasti kerana pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk dalam sungai terbabit yang boleh mengaitkannya dengan individu tertentu. – Bernama
No comments:
Post a Comment