Thursday, May 6, 2010

pakai baju besi untuk pertahan diri


'Saya perlu pertahan diri'



KOTA BHARU 5 Mei - Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, beliau terpaksa membuat kenyataan kepada media dan melalui blognya bagi mempertahankan diri selepas 'diserang' pelbagai pihak ekoran pendedahannya mengenai peruntukan sebanyak RM4 juta untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau percaya kenyataan itu tidak mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana maklumat yang didedahkannya sememangnya diketahui umum.
"Semua perkara yang saya beritahu kepada media telah diketahui oleh semua pihak dan tidak ada lagi unsur kejutan. Lagi pun saya bukannya sumber utama.
"Saya perlu pertahankan diri saya dan tidak perlu diskriminasi kerana banyak pihak menyerang saya daripada pelbagai sudut selepas ia mendapat liputan meluas daripada media," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada akan terus membuat pendedahan atau pun akan berdiam diri selepas ini.
Akhbar hari ini melaporkan SPRM meminta Syed Azidi supaya menghentikan pendedahan beliau kepada umum dan media mengenai peruntukan RM4 juta yang didakwa diterimanya untuk memburukkan imej pucuk pimpinan Kerajaan Pusat.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mustafar Ali dilaporkan berkata, tindakan mendedahkan secara keterlaluan termasuk dalam tulisan yang dimuatkan dalam mana-mana laman blog, boleh mengganggu siasatan pihaknya.
Semalam bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu turut membidas kepimpinan Pas Pusat yang dianggapnya berbohong jika mereka mendakwa tidak mengetahui tentang kewujudan Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) yang menjadi jentera untuk Pas memburukkan pentadbiran Kerajaan Pusat.
Beliau mendakwa, penafian Pas mengenai kewujudan GMC adalah semata-mata untuk melindungi lima individu yang menjadi penyumbang dana sebanyak RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf itu.

No comments:

Post a Comment