Thursday, May 6, 2010

Mana janjimu?

Nelayan tagih 3 janji 
YAN - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib dialami kira-kira 100 nelayan Kampung Singkir Laut, di sini apabila tiga janji utama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan untuk memberikan kemudahan kepada mereka tidak ditunaikan sejak lima tahun lalu.

Tiga janji utama PBT terbabit seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah serta Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Singkir Laut yang memberi jaminan akan membina satu kompleks nelayan di kuala sungai, mendalamkan dan melebarkan kuala sungai untuk memudahkan laluan bot dan meluluskan permohonan lesen bot untuk kira-kira 30 nelayan, hanya tinggal janji semata-mata kerana sehingga ke hari ini, nelayan masih tidak menerima apa-apa.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Singkir Laut, Ibrahim Budi berkata, sudahlah tiga janji utama yang ditaburkan pihak terlibat tidak ditunaikan, pembinaan jeti pendaratan ikan sepanjang 250 meter di kuala sungai yang siap pada tahun 2007 bagai ‘melepaskan batuk di tangga’ juga amat mengecewakan apabila kedudukan jeti dengan kuala sungai amat jauh.

Menurutnya, demi tidak mempersiakan pembinaan jeti itu, persatuan nelayan terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk membina titi penyambung menggunakan kayu terbuang dari jeti ke kuala sungai sejauh 50 meter bagi membolehkan urusan pendaratan ikan dapat dilakukan.

“Tujuan persatuan mengadakan demonstrasi hari ini (semalam) untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan beberapa pihak seperti LKIM, JPS dan wakil JKKKP yang mengendalikan urusan permohonan kami kerana semua janji yang ditaburkan mereka kepada kami tidak dipenuhi, walaupun kami setia menunggu sejak lima tahun dahulu.

“Kami juga seperti dianaktirikan pihak terlibat kerana tidak mempedulikan kebajikan kami, walhal sebahagian besar penduduk kampung ini terdiri daripada nelayan dan sekiranya tiada kemudahan disediakan, bagaimana kami hendak meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan kami?” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ibrahim turut menegaskan permohonan nelayan untuk mendapatkan kompleks nelayan sudah dikemukakan kepada LKIM melalui Pengerusi JKKKP, Mashitah Abd Samad sejak lima tahun dahulu dan sebanyak tiga kali permohonan dibuat bagi membolehkan ianya diluluskan.

Bagaimanapun, beliau difahamkan oleh seorang pegawai LKIM bahawa peruntukan pembinaan kompleks nelayan yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini terpaksa disalurkan ke tempat lain dan ianya terpaksa ditangguhkan sementara menunggu peruntukan baru tiba.

“Nelayan turut kecewa kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan kuala bagi memudahkan kami menyimpan bot tidak dilaksanakan, sedangkan ianya sepatutnya dibuat bersama dengan kerja-kerja membina penahan ombak berdasarkan surat pekeliling dari JPS Kedah.

“Disebabkan kerja pelebaran dan pedalaman kuala tidak dilakukan, pembinaan jeti pendaratan ikan dibuat seperti melepaskan batuk di tangga dan tidak strategik kerana kami difahamkan kontraktor asal membina jeti mengikut pelan JPS, dan tidak langsung merujuk kepada kami,” katanya.

Berkenaan tuntutan janji ketiga, Ibrahim memohon agar LKIM menyegerakan permohonan kelulusan lesen bot untuk kira-kira 40 nelayan Kampung Singkir Laut bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan seperti penerimaan subsidi diesel, bantuan sara hidup dan elaun berkaitan.

Menurutnya, kesemua nelayan terlibat sudah menghantar permohonan itu sejak tahun 2006, namun sehingga ke hari ini masih tidak menerima maklum balas daripada LKIM berkenaan permohonan itu.

“Bila nelayan bertanyakan alasan permohonan mereka masih tidak diluluskan, pegawai terlibat menjawab LKIM masih belum selesai menguruskan permohonan pada tahun-tahun sebelumnya, sedangkan bilangan nelayan di negeri Kedah bukan banyak sangat.

“Takkan permohonan kelulusan lesen bot untuk 20 bot nelayan kampung ini mengambil masa bertahun-tahun untuk diluluskan? Inikah moto 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diamalkan oleh agensi kerajaan selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Singkir Laut, Mashitah Abd Samad ketika ditemui Sinar Harian menegaskan, pihaknya masih menunggu jawapan hitam putih daripada LKIM berkenaan permohonan nelayan untuk mendapatkan satu kompleks nelayan kerana sehingga kini, beliau hanya menerima jawapan lisan pegawai agensi mendakwa peruntukan sudah ada.

Mashitah turut mengemukakan bukti menunjukkan beliau sudah memanjangkan permohonan nelayan kepada LKIM buat kali kedua pada 29 September tahun lalu di samping mendedahkan kerap menghubungi pegawai LKIM untuk mengetahui status permohonan yang diuruskannya.

“Pada 2 Mei lalu, saya ada bertanyakan lagi status permohonan dengan pegawai LKIM dan saya difahamkan ianya diluluskan LKIM dan peruntukan sudah tersedia, bagaimanapun butiran peruntukan itu masih tidak didedahkan.

“Justeru, JKKKP kini menunggu keputusan lanjut daripada pengurusan LKIM bagi tujuan itu dan saya memohon agar nelayan terlibat bersabar seketika,” katanya.

Mashitah turut kesal dengan sikap kontraktor yang membina jeti pendaratan ikan tanpa merujuk pihaknya terlebih dahulu, sehingga kelihatan janggal kerana terletak jauh dari kuala sungai.

Mengenai permohonan kira-kira 40 nelayan Kampung Singkir Laut untuk mendapatkan lesen bot, beliau menggesa mereka mendaftarkan satu persatuan nelayan dengan Pertubuhan Pendaftar (ROS) atau menyertai persatuan nelayan di peringkat daerah dan negeri bagi memudahkan urusan permohonan lesen.

“Masalah utama nelayan di kampung ini adalah disebabkan mereka tidak menubuhkan persatuan nelayan secara sah dan kesemua permohonan dikemukakan atas kapasiti sebagai individu.

“Inilah yang menyukarkan pihak terlibat memenuhi permohonan mereka kerana bimbang kemudahan diberikan disalah guna atau diberikan pada pihak yang salah,” katanya.

Semalam, kira-kira 50 nelayan Kampung Singkir Laut di sini mengadakan demonstrasi aman bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa PBT yang tidak memenuhi tiga janji utama terhadap nelayan sejak lima tahun dahulu.

No comments:

Post a Comment