Saturday, May 1, 2010

Gadis maut kereta dipandu abang terbabas jatuh longkang



KENINGAU 30 April - Seorang gadis maut setelah kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama abangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bandukan kira-kira pukul 1 petang semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Tatiana Duasin, 17, menaiki kenderaan itu bersama abangnya, Junaidi, 20, dan adik mereka, Kety, 16.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di Hospital Keningau kira-kira pukul 6.40 petang.
Katanya, abang mangsa yang memandu kenderaan berkenaan bersama adiknya hanya cedera ringan.
"Siasatan awal polis mendapati, pemandu kereta terbabit ada mengambil minuman keras ketika berada di rumah kawan mereka di Bandukan.
"Kemalangan berlaku ketika tiga beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Binaong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zahari berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, tiada kesan brek ditemui dan kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain.
Katanya, kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk di bahagian hadapan, bumbung dan kedua-dua pintunya selepas terjatuh ke dalam longkang.
Berikutan itu, Zahari menasihatkan agar orang ramai yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak memandu kenderaan bagi mengelak daripada berlaku kemalangan.
Malah, katanya, memandu ketika mabuk adalah antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya di daerah ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat Kadazandusun yang akan menyambut Pesta Kaamatan supaya tidak mengambil alkohol secara berlebihan jika ingin memandu kenderaan di jalan raya.

No comments:

Post a Comment