Saturday, May 1, 2010

Zul Kulim - Titah Sultan tepat pada masanya


Titah Sultan tepat pada masanya

KUALA LUMPUR 30 April - Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mana-mana pihak tidak menggunakan masjid sebagai pentas politik disifatkan sebagai nasihat yang kena pada masa dan tempatnya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, ini kerana beliau sendiri melihat gejala menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik kepartian yang sempit termasuk di platform ceramah, kuliah agama dan khutbah akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi.
"Saya sendiri pernah mendengar seorang khatib merangkap pengerusi masjid yang juga pimpinan sebuah parti politik menggunakan khutbah Jumaat bagi menghentam dan memfitnah lawannya tanpa sedikit pun perasaan malu kepada Allah.
"Dia juga mengguna bahasa maki hamun dan fitnah yang tiada batasan agama," katanya di dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com.
Sultan Selangor semalam bertitah sesiapa saja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau tidak perlu datang ke negeri itu.
Zulkifli berkata, beliau juga berpengalaman mendengar sendiri seorang penceramah memaki hamun seorang ilmuan Islam yang lain hanya kerana didakwa tidak sealiran dengannya.
"Sehingga ilmuan tersebut diisytiharkan beliau sebagai sesat. Mentang-mentang sudah menguasai surau dan masjid, habis diguna platform masjid surau untuk agenda politik kepartian yang terlalu jumud dan sempit," katanya.
Katanya, sememangnya Islam dan politik tidak boleh dipisahkan namun menggunakan Islam sebagai landasan perjuangan politik kepartian yang terlalu taksub juga tidak dibenarkan kerana ia akan membawa kepada perpecahan dan perkara itulah yang sedang berlaku di negara ini sekarang.

No comments:

Post a Comment