Monday, May 17, 2010

JAIS dah teruk jadi barua UMNO


Masih ada pihak ingkar arahan politik di masjid
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/05/17

Jais tak teragak-agak pecat nazir langgar perintah Sultan Selangor 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendedahkan ada segelintir umat Islam di negeri ini bersekongkol dengan pihak tertentu menjadikan surau dan masjid sebagai tempat untuk meraih kepentingan politik. Sambil melahirkan rasa kecewa dengan sikap angkuh pihak yang mengingkari arahan untuk tidak menggunakan masjid dan surau sebagai medan berpolitik, Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata Jais tidak akan tunduk dengan tekanan mana-mana pihak, selain tidak takut untuk mengambil tindakan termasuk memecat nazir yang ingkar dengan arahan berkenaan. Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak, terutama ahli politik, supaya tidak menangguk di air keruh dengan menggunakan nazir masjid dan surau bagi mencapai cita-cita politik mereka. 

“Saya tidak takut untuk memecat nazir di negeri ini kerana saya menjunjung titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang melarang penggunaan masjid sebagai tempat politik,” katanya ketika ditemui di sini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai aduan beberapa pihak berhubung kehadiran penceramah tanpa tauliah di beberapa masjid di sekitar Selangor selain keengganan nazir meletakkan papan kenyataan berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau. 

Berita Harian sebelum ini melaporkan seramai 15 nazir masjid di Selangor diberi amaran keras oleh Jais kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri itu sebagai tempat berpolitik. 
Larangan berpolitik itu perlu dipatuhi kerana ia tertakluk mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. 

Mereka yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Sultan Selangor yang juga sebagai Ketua Agama Islam di Selangor dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. 

Enakmen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mohamed Khusrin berkata, terdapat segelintir nazir dan ahli kariah yang mengadakan protes secara senyap seperti mengingkari arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jais, termasuk tidak meletak papan kenyataan berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau di negeri ini. 

Katanya, Jais bimbang jika perkara itu berterusan, ia akan memecah-belahkan umat Islam di negara ini hanya disebabkan perbezaan fahaman politik. 

"Saya tahu ada nazir surau dan masjid berpakat dengan kariah untuk menyorok papan kenyataan itu hanya kerana dihasut oleh pihak tertentu. Saya hairan kenapa ini berlaku dan kesal dengan sikap kita yang cuba menunjukkan kekuasaan di masjid. 

"Terdapat aduan yang mengatakan ada penceramah luar datang ke masjid di negeri ini kononnya untuk memberi ceramah agama, tetapi sebenarnya ia ceramah politik. 

“Keadaan itu menyebabkan timbulnya ketidakselesaan penduduk setempat kerana kebanyakan yang datang dengar ceramah itu ialah orang luar," katanya.

No comments:

Post a Comment