Monday, May 17, 2010
Melaka & Negeri Sembilan: Kedai pengotor
YUSOF (kiri) bersama anggota penguat kuasa memeriksa premis makanan di Melaka.
MELAKA: Tabiat pengotor segelintir peniaga restoran di sekitar bandar raya ini jelas masih tidak banyak berubah, biarpun tindakan tegas dikenakan terhadap mereka oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana mengabaikan aspek kebersihan.
Ini terbukti apabila jumlah mereka yang dikenakan kompaun kerana membiarkan premis dipenuhi sampah, selain tidak mengamalkan aspek kebersihan ketika Operasi Antikekotoran dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit masih di tahap mendukacitakan. Segelintir pengusaha makanan ini dipercayai berani melakukan perbuatan itu kerana beranggapan pihak berkenaan tidak akan lagi mengintip atau memantau perbuatan mereka membuang sampah sesuka hati, selain membiarkan premis kotor. Bagaimanapun, percaturan mereka tersilap apabila MBMB masih meneruskan operasi dari semasa ke semasa dan tidak hanya bertumpu ketika menganjurkan temasya Sukan Malaysia ke-13 (Sukma XIII) pada 10 hingga 19 Jun ini.
Terbaru, bagi menangani masalah itu, satu operasi khas diketuai Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Yusof Jantan dilakukan ke kawasan sekitar Cheng. Operasi yang turut membabitkan Jabatan Kesihatan negeri itu memeriksa seluruh 15 premis di kawasan berkenaan dan kesimpulannya, pemilik atau pengusaha kedai makan di situ tidak mengutamakan aspek kebersihan.
Kebanyakan pemilik restoran dan gerai, didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti sengaja meletakkan sisa makanan di luar premis, premis dipenuhi lipas, pemilik dan pekerja tidak menjaga kebersihan diri, tidak memakai apron dan penutup kepala ketika bertugas, selain makanan diletakkan di lantai dan tidak terurus.
Berita Harian yang turut menyertai operasi bermula dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam bersama 80 anggota MBMB, mendapati kawasan berkenaan dipenuhi sampah sarap, manakala sisa makanan bertaburan. Tandas di sebuah restoran di situ juga didapati sangat kotor, manakala sesetengahnya rosak dibiarkan begitu saja.
Sebuah restoran pula meletakkan makanan mentah bersama kiub ais untuk minuman di dalam peti sejuk. Semua penemuan ini jelas menunjukkan pemilik restoran terbabit tidak serius menjadikan tandas dan tempat makanan bersih sebagai budaya hidup.
Yusof ketika ditemui berkata, operasi itu bertujuan memastikan semua premis berkeadaan bersih setiap masa dan peniaga mematuhi syarat perniagaan.
Beliau berkata, daripada semua premis makanan yang diperiksa, enam daripadanya diarah Jabatan Kesihatan negeri ditutup selama seminggu kerana terlalu kotor dan berada pada tahap kritikal, manakala sembilan premis dikenakan 35 kompaun kerana pelbagai kesalahan.
“Premis yang diarahkan tutup ini boleh beroperasi semula jika bersih dan mematahui peraturan ditetapkan. Pegawai Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan semula terhadap premis berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.
Labels:
kotor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment