Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai
2010/05/17
MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok."Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.
"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.
Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.
Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.
Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama
No comments:
Post a Comment