Friday, May 28, 2010

Lompat parti kerana ada masalah peribadi


Harakahdaily   
KOTA BHARU, 27 Mei: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, mereka yang keluar dari parti itu kerana kecewa dan tidak menafikan ia memberi kesan yang negatif.
Menurutnya, mereka yang melompat parti ada masalah peribadi seperti kewangan dan tidak dapat apa yang mereka mahu.
“Kita perlu kaji punca mereka kecewa dan mengatasinya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bersama Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di Kelantan Trade Centre, malam ini.
Sehubungan itu, mereka mengingatkan para perwakilan supaya jangan takut untuk muhasabah dan membuat pembetulan.
Beliau juga mahu para perwakilan supaya perlu bersikap positif dan tidak perlu bimbang dengan gejala melompat itu.
Ini, katanya kerana tiap-tiap bulan PKR menerima 5,000 ahli baru dan dalam masa tiga bulan sebanyak 50,000 permohonan diterima.
Bagaimanapun, katanya untuk jangka pendek ada kesan buruk tetapi dalam jangka panjang dapat menyucikan perjuangan.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyentuh tentang hutang negara yang berjumlah RM360 bilion sebagaimana yang disbutkan oleh Datuk Seri Idris Jala.
Katanya, ia adalah suatu yang mengejutkan dan situasi yang paling teruk sejak negara mencapai kemerdekaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menyelamatkan negara daripada keadaan tersebut.

No comments:

Post a Comment