Wednesday, May 5, 2010

Panel khas lawat lokasi tembakan





Abu Seman Yusop (dua dari kiri) melawat lokasi kejadian di mana Aminulrasyid Amzah terkena tembakan di Seksyen 11, Shah Alam, malam tadi. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi


SHAH ALAM 4 Mei - Panel khas diketuai oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop bersama tujuh anggota panel lain hari ini melakukan lawatan semula ke tempat kejadian berhubung kes Aminulrasyid Amzah yang maut ditembak di Seksyen 11 di sini, 26 April lalu.
Kesemua panel itu berkumpul di Hotel Concorde, Seksyen 9 di sini sebelum menaiki sebuah bas Kementerian Dalam Negeri dan memulakan pemerhatian di kesemua laluan bermula di Restoran Ali Corner, Seksyen 7 sehingga ke tempat kereta yang dinaiki mangsa merempuh tembok rumah di Seksyen 11.
Kira-kira 50 wartawan dan jurugambar berkumpul di lokasi kejadian sejak pukul 10 malam di kawasan berhampiran.
Abu Seman berkata, tujuan lawatan tersebut adalah bagi memahami situasi sebenar kejadian yang berlaku pada malam kejadian.
''Sebab itu kita datang malam ini dalam keadaan sama kejadian berlaku dan kita boleh memahami situasi dengan lebih baik.
''Dari segi tinjauan, kita berpuas hati dan mungkin akan datang semula pada waktu siang,"katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Supritendan Kamaruddin Ismail.
Mengulas lanjut, Abu Seman berkata,langkah seterusnya tugas ahli panel tersebut seperti yang dinyatakan sebelum ini ialah untuk memantau tugas polis bagi siasatan yang telus, cepat dan adil kepada semua pihak.
''Kita memang akan bersidang secara mingguan, jadi yang terdekat pada Jumaat ini," ujarnya.
Berhubung kenyataan seorang jiran Wan A. Rahim Wan Tajudin, 54, mendakwa orang kedua yang tiba di lokasi kejadian dan melihat mayat Allahyarham Aminulrasyid, beliau berkata, perkara itu akan diserah kepada polis.
Wan A. Rahim memberitahu, anggota panel tersebut bahawa apabila beliau keluar daripada rumah, dia terdengar jeritan meminta dipanggil ambulans dan satu lagi jeritan memberitahu, seorang lagi sudah terlepas.

No comments:

Post a Comment