Sunday, May 9, 2010

Teguran saya ikhlas – Musa





BUKIT MERTAJAM 8 Mei – Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir menjelaskan, tegurannya mengenai kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dibuat secara ikhlas dan tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak.
Musa menegaskan, beliau membangkitkan perkara itu atas dasar kepentingan awam bagi memastikan setiap GLC diurus secara fokus dan bertanggungjawab sekali gus mengelakkan berlaku kerugian seperti yang dialami Pos Malaysia Bhd.
‘‘Saya hanya membangkitkan soal kewajaran ada tokoh korporat yang menjawat jawatan di dua syarikat GLC sekali gus dan kita tanya sama ada mereka mampu untuk menguruskan kedua-duanya.
‘‘Kita juga tanya adakah negara sudah ketandusan bijak pandai sehingga GLC diuruskan sedemikian? Sebab itu, kita minta Kementerian Kewangan kaji balik kaedah pelantikan dalam GLC.
‘‘Teguran ini ikhlas, bukan hendak menjatuhkan sesiapa. Kalau kita lihat apa yang terjadi kepada Pos Malaysia, saya fikir teguran begini wajar kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya di sini hari ini.
Khamis lalu, Musa menyarankan Kementerian Kewangan mengkaji latar belakang para CEO GLC sama ada pelantikan mereka dibuat atas kepakaran yang dimiliki atau kerana rapat dengan pemimpin tertentu.
Musa membangkitkan perkara itu ketika pelbagai pihak mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua menjelaskan kerugian sebanyak RM546 juta yang dialami Pos Malaysia.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang turut membuat desakan itu juga meminta Nor Mohamed menjelaskan pelantikan lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai CEO dalam GLC.
Zahrain mempersoalkan sama ada motif pelantikan CEO terbabit berdasarkan kelayakan atau ada sejarah hubungan dengan Nor Mohamed.
Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Nor Mohamed yang menafikan penglibatannya dalam sebarang keputusan sehingga menyebabkan Pos Malaysia mengalami kerugian.
Nor Mohamed menjelaskan, beliau tampil membuat penjelasan kerana menyifatkan serangan terhadapnya berhubung isu tersebut semakin fokus dan seolah-olah ada agenda tersembunyi yang diatur pihak tertentu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengakui mempunyai hubungan rapat dengan Dana Harta Berhad tetapi menegaskan pelantikan individu terbabit sebagai CEO GLC dibuat atas dasar kemampuan serta kepintaran mereka.

No comments:

Post a Comment