Kereta jenis Perdana V6 yang dilaporkan hilang di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9, Shah Alam, ditemui semula di tepi jalan kawasan Prima Damansara di sini pagi ini.
Penjenayah terbabit dipercayai bertindak meninggalkan kenderaan itu bersama nota meminta maaf selepas mengetahui kenderaan yang dicuri adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kereta itu ditemui oleh tiga anggota polis dari Balai Polis Damansara Damai yang menjalankan operasi untuk mengesan kenderaan terbabit pada pukul 8.35 pagi.
Menurutnya, kereta terbabit ditemui dalam keadaan baik dan tiada kehilangan barang-barang milik Ketua Polis Selangor dalam kenderaan itu.
Katanya, penjenayah dipercayai mencuri kenderaan itu selepas mengumpil pintu depan sebelah kiri untuk masuk sebelum memotong alat penggera bagi mengelak perbuatannya dikesan.
"Apabila diperiksa, kita menemui sekeping kertas tertulis nota berbunyi 'Sorry PDRM tesilap sapu' yang diletakkan di atas papan pemuka kereta," katanya di tempat kereta itu ditemui di sini hari ini.
Kok Chin berkata, suspek juga tidak menukar nombor pendaftaran WSY 6751 kereta tersebut dan semua barang dalam kereta itu selamat.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment