Sunday, June 6, 2010

Israel pastikan keselamatan semua aktivis



KUALA LUMPUR 5 Jun – Malaysia mendesak Israel supaya memastikan keselamatan semua aktivis kemanusiaan termasuk enam rakyat negara ini yang ditawan bersama kapal Rachel Corrie yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan enam rakyat Malaysia yang ditawan itu dari masa ke semasa bagi menjamin keselamatan mereka.
Katanya, Malaysia berharap tentera Israel tidak melakukan sebarang tindakan kekerasan ke atas semua aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata di atas kapal tersebut.
“Tentera Israel perlu memastikan semua aktivis kemanusiaan di atas kapal itu (Rachel Corrie) berada dalam keadaan selamat dan tidak terancam keselamatan mereka.
“Malaysia juga berharap Israel dapat memberi laluan kepada kapal itu untuk meneruskan perjalanan bagi menghantar bantuan kemanusiaan itu ke Gaza,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Kapal Rachel Corrie tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu ditawan oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) kira-kira pukul 2.45 petang waktu Malaysia hari ini.
Kapal itu membawa 1,500 tan pelbagai bantuan termasuk makanan, perubatan dan bahan binaan kepada penduduk Gaza.
Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu ialah peguam, Matthias Chang, Sukarelawan PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu.
Turut serta, Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria, Wartawan TV3 Halim Mohamed dan jurukamera, Mohd. Jufri Judin.
Isnin lalu, kapal dari Ireland iaitu Mavi Marmara ditahan dan diserang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 16 orang maut dan berpuluh lain cedera dalam serangan itu atas alasan misi tersebut turut membawa senjata untuk dibekalkan kepada rakyat Palestin.
Anifah berkata, ekoran daripada penahanan itu, Malaysia meminta masyarakat dunia memujuk Israel supaya membenarkan kapal Rachel Corrie meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan selamat.
Sementara itu, PGPO juga mendesak Israel membenarkan kapal Rachel Corrie meneruskan perjalanan ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di negara yang sering menjadi mangsa keganasan rejim zionis itu.
Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kapal tersebut ditawan ketika berada beberapa kilometer lagi untuk menghampiri pesisir pantai Gaza.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua aktivis kemanusiaan termasuk enam wakil Malaysia di atas kapal tersebut selamat.
“Saya tidak bersetuju dengan tindakan Israel menawan kapal Rachel Corrie dan mendesak Israel supaya membenarkan kapal itu meneruskan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Matlamat utama tentera rejim zionis menawan Rachel Corrie bertujuan untuk mengubah haluan kapal tersebut ke Pelabuhan Ashdod di negara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Matthias sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin sebelum Rachel Corrie ditawan tentera Israel.
Kandungan SMS itu adalah seperti berikut:
* 9.30 pagi (waktu Malaysia) - Tiga bot tentera Israel mengekori kapal Rachel Corrie.
* 10.30 pagi - Bot-bot tentera Israel memecut ke arah kapal dan kami diminta bertenang.
* 10.35 pagi - Tentera Israel telah menyekat radar kapal kami.
Itu merupakan kali terakhir kapal Rachel Corrie dapat dihubungi.

No comments:

Post a Comment