Sunday, June 6, 2010

NGO Ireland selar Israel perampas



BOT-bot tentera Israel mengepung kapal Rachel Carrie sebelum menawannya di Laut Mediterranean dan memaksa kapal itu belayar ke pelabuhan bandar Ashdod di selatan Israel, semalam . - AFP


DUBLIN 5 Jun - Kempen Solidariti Palestin Ireland menyelar tindakan Israel menawan kapal Rachel Carrie sebagai 'merampas dan menculik' para penumpangnya semasa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza hari ini.
Badan pro-Palestin itu dalam kenyataannya berkata, untuk kali kedua dalam seminggu ini, tentera Israel memintas dan menawan kapal bantuan tidak bersenjata, menculik penumpang dan memaksa kapal ke pelabuhan Ashdod.
Operasi ketenteraan Israel itu bermula selepas subuh apabila aktivis di atas kapal memberitahu menerusi telefon kepada jawatankuasa sambutan di Gaza bahawa mereka telah dikepung oleh bot-bot rejim Zionis.
Sejurus kemudian, semua talian komunikasi kapal Rachel Carrie itu diputuskan, kata Amjad al-Shawa kepada AFP di Gaza City.
Kerajaan Ireland, yang telah meminta Israel supaya tidak berkeras dan membenarkan kapal itu sampai ke Gaza, sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan situasi, kata jurucakap Kementerian Luar di Dublin.
Israel telah berulang kali mengatakan tidak wujud krisis kemanusian di Genting Gaza dan bantuan seumpamanya tidak diperlukan, satu dakwaan yang ditolak oleh Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
''Untuk mengatakan tidak wujud krisis kemanusiaan di aza adalah mengarut,'' kata jurucakap UNRWA, Chris Gunnes di Ashdod, sambil menambah, tahun lalu sahaja, paras kemiskinan penduduk seramai 1.5 juta di Gaza telah bertambah tiga ganda.
''Bilangan orang yang tidak mampu mencari makanan untuk diri mereka sendiri atau keluarga telah meningkat dari 100,000 kepada 300,000 tahun lalu. Sebanyak 80 peratus penduduk bergantung kepada bantuan asing,'' ujarnya. - AFP

No comments:

Post a Comment