06/06/2010 7:24pm
KUALA LUMPUR 6 Jun – Satu pasukan yang terdiri daripada pengamal undang-undang di negara ini telah ditubuhkan bagi memfailkan petisyen untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.
Pasukan itu sedang merangka petisyen yang akan difailkan, kata peguam Datuk Kamilia Ibrahim yang mengusahakan penubuhan pasukan itu.
"Satu pasukan peguam antaranya peguam hak asasi manusia, para akademia dan sukarelawan guaman telah ditubuh dan lebih ramai sukarelawan guaman lagi dipelawa untuk memulakan dakwaan terhadap Israel di atas tindakan keganasan mereka terhadap sukarelawan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Kerana apa yang dilakukan oleh Israel jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan melanggar hak asasi manusia, bukti kekejaman mereka juga sudah ada dalam bentuk video klip dan saksi yang hidup,” kata Kamilia yang juga Naib Ketua Wanita UMNO.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian 12 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera rejim Zionis itu semasa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin lepas.
Dalam insiden itu, kapal milik Turki, Mavi Marmara yang membawa sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia itu diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.
Bagaimanapun, kesemua 12 rakyat Malaysia di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.
Mereka selamat tiba ke tanah air kira-kira pukul 5.40 pagi tadi. – Bernama
No comments:
Post a Comment