Sunday, June 6, 2010

Komando Israeltembak aktivis Turki 30 kali



LONDON 5 Jun – Sembilan aktivis Turki yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal bantuan menghala ke Gaza telah ditembak sebanyak 30 kali dengan lima daripada mereka maut akibat tembakan di kepala, lapor akhbar The Guardian hari ini.
Keputusan bedah siasat menunjukkan kebanyakan mangsa dihujani dengan peluru 9mm dengan sebahagian besarnya dari jarak dekat, lapor akhbar itu yang memetik kenyataan Naib Pengerusi majlis perubatan forensik Turki, Yalcin Buyuk yang menjalankan autopsi kelmarin.
Komando Israel menyerang flotila kapal bantuan yang mahu menghentikan sekatan laut ke atas Gaza pada Isnin lalu. Kesemua korban yang berlaku di atas kapal Mavi Marmara, mencetuskan gelombang kutukan dunia.
Israel mendakwa anggota marin yang naik ke atas Mavi Marmara melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas aktivis menyerang mereka dengan kayu dan pisau serta dua pucuk pistol yang dirampas dari pasukan komando Yahudi.
Keputusan bedah siasat menunjukkan Ibrahim, Bilgen, 60, ditembak empat kali di pelipis, dada, paha dan belakang.
Remaja berusia 19 tahun, Fulkan Dogan yang juga rakyat Amerika Syarikat, ditembak lima kali dari jarak kurang 45 sentimeter di bahagian muka, belakang kepala, dua kali di kaki dan satu di belakang.
Dua lagi lelaki ditembak empat kali. Lima dari mangsa yang maut ditembak sama ada di bahagian belakang kepala atau belakang badan.
Menurut Buyuk, seramai 48 mangsa cedera akibat tembakan dan enam aktivis masih hilang.
Israel memberi alasan luka cedera ditembak itu disebabkan tembakan yang dilepaskan oleh komando untuk mempertahankan diri.
The Guardian memetik pengerusi majlis perubatan forensik di Istanbul, Haluk Ince sebagai berkata, hanya satu mayat menunjukkan satu kesan tembakan iaitu pada bahagian kepala dari peluru yang ditembak dari jarak jauh. – REUTERS

No comments:

Post a Comment