Sunday, June 13, 2010

Masyarakat minoriti Siam adalah Bumiputera




TUMPAT - Masyarakat Siam Kelantan dan beberapa negeri di Semenanjung yang semuanya dianggarkan kira-kira 60,000 orang adalah Bumiputera di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, masyarakat minoriti itu mempunyai hak sama dengan warga peribumi lain di samping menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Siam Malaysia berkata, semua pihak disaran agar memahami status kewarganegaraan yang dinikmati masyarakat itu di negara ini sebagaimana diperoleh kaum Bumiputera lain.

Mengenai kedudukan kira-kira 100 orang masyarakat itu di Kelantan mempunyai kad pengenalan merah sedangkan mereka tinggal sejak awal lagi dan boleh membeli tanah sendiri di negeri itu, beliau berkata, perkara itu akan disiasat sebelum tindakan susulan diambil.

"Kita harap ketua masyarakat Siam dapat menyenaraikan nama mereka dan beri kepada saya bagi tindakan susulan... kalau betul tidak salah dia mempunyai kad pengenalan biru," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Wanita Siam Dalam Era Globalisasi di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar di sini, hari ini.

Majlis sehari itu dihadiri kira-kira 400 wanita masyarakat Siam yang tinggal di Tumpat dan Pasir Mas dalam usaha meningkatkan kefahaman golongan terbabit sebagai warga negara ini. - Bernama


No comments:

Post a Comment