Sunday, June 13, 2010
Siasatan Israel perlu adil, bebas
NEW YORK - Dalam pada rejim Israel terus bertegas tidak mahu membenarkan panel antarabangsa menyiasat insiden serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal misi bantuan ke Gaza pada 31 Mei, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahukan siasatan yang adil.
Penyiasat hak asasi manusia PBB, Philip Alston berkata, adalah mustahil untuk Israel melakukan siasatan yang adil dan telus memandangkan kredibilitinya dalam insiden itu sudah sedia diragui masyarakat antarabangsa.
"Ada beberapa prasyarat yang tidak boleh diketepikan oleh panel yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini, dan PBB akan terus memantau siasatan yang mahu dilakukan oleh panel khas yang ditubuhkan Israel.:
"Kita mahu pastikan panel itu benar-benar bebas dan tidak ada campur tangan kerajaan Israel. Laporan hasil siasatan juga tidak boleh diputuskan oleh kerajaan, sebaliknya mesti dimaklumkan kepada masyarakat antarabangsa," katanya.
Menurut Alston, panel itu juga mestilah diberi kuasa perundangan sepenuhnya dan akses penuh kepada semua bahan bukti, termasuk kuasa memanggil saksi-saksi utama, semua rakaman video serta apa-apa bahan bukti berkaitan insiden serangan ke atas kapal :Mavi Marmara: pada 31 Mei lalu.
"Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi, suruhanjaya siasatan itu mampu memberi sumbangan besar ke arah menyelesaikan isu yang timbul, khususnya soal hak kemanusiaan," katanya.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengadakan diskusi melalui telefon dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung siasatan mengenai serangan tentera Israel terhadap aktivis pro-Palestin yang menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, rejim Zionis tentu tidak dapat berlaku adil dalam melakukan siasatan kes itu kerana secara terang-terangan menyokong serangan pada 31 Mei yang mengorbankan 9 nyawa.
Labels:
israel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment