Kos binaan berpatutan
KUALA LUMPUR: Kospembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur masih berpatutan dibandingkan dengan beberapa buah istana lain walaupun kosnya melebihi daripada harga asal yang disebut bekas Menteri Kerja Raya sebelum ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng, berkata perubahan kos terbabit kepada lebih RM800 juta berbanding kos asal RM400 juta disebabkan kos asal tidak menyeluruh, malah tidak merangkumi harga rundingan.
Menurutnya, pembinaan Istana Negara yang baru itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat menelan belanja RM130 juta dan menaik taraf jalan sebanyak RM32.5 juta.
“Sebenarnya kalau kita ikutkan kos, Istana Negara (saja) sebanyak RM650 juta. Kalau kita kira perkaki persegi ialah RM670.
“Kalau dibandingkan dengan istana lain, Istana Selangor, Putrajaya, Istana Melawati di Putrajaya...Istana Selangor RM1,000 satu kaki persegi dan Melawati RM860 perkaki persegi. Kalau kita nak banding dengan banglo dua tingkat di Bukit Damansara RM1,280 sekaki persegi.
“Harganya memang kita runding dan harganya boleh kita katakan berpatutan. Kalau kira jalan, persimpangan dan projek ini, tiga bahagian. “Dua bahagiannya ambil RM160 juta lebih, yang sebenarnya bangunan istana sendiri dekat RM650 juta saja,” katanya, menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping), yang bertanyakan kos pembinaan Istana Negara baru dan tender terbuka di persidangan Dewan Rakyat.
Yong berkata, Istana Negara mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia yang mana kemudahannya mestilah membabitkan aspek keselamatan dan ciri estetika khusus.
“Kerajaan menimbangkan beberapa faktor dan menawarkan projek ini secara rundingan terus kepada tiga syarikat bagi ketiga-tiga komponen utama Istana Negara,” katanya.
Katanya, Istana Negara sedia ada di Jalan Istana pada asalnya adalah banglo milik perseorangan yang dibina pada 1928 sebelum diambil alih dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957.
“Kerajaan pada 2005 memutuskan tiba masanya dibina istana baru iaitu di Jalan Duta bagi menggantikan istana sedia ada. Projek Kompleks Istana Negara ini dijangka siap Februari tahun depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment