Tuesday, June 15, 2010

Kos bina Istana Negara baru RM800 juta - Khoon Seng



KUALA LUMPUR - Kos pembinaan Istana Negara yang baru kini bernilai lebih RM800 juta, termasuk kos menaik taraf jalan dan pembinaan persimpangan bertingkat. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata, perubahan kos itu, berbanding kos asal RM400 juta diumumkan sebelum ini, disebabkan kos asal tidak meliputi harga rundingan dan tidak menyeluruh. 

Katanya, pembinaan bangunan baru di Jalan Duta itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta). 

“Istana Negara adalah mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia, kerajaan menimbangkan beberapa faktor dan menawarkan projek ini secara rundingan terus kepada tiga syarikat bagi ketiga-tiga komponen utama Istana Negara,” katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang ingin tahu kemudahan yang bakal dibina dan jumlah kos perbelanjaan pembinaan Istana Negara yang baru. 

Khoon Seng berkata, Istana Negara sedia ada di Jalan Istana pada asalnya adalah banglo milik perseorangan yang dibina pada 1928 sebelum diambil alih dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957. 

“Kerajaan pada 2005 memutuskan bahawa sudah tiba masanya dibina istana baru iaitu di Jalan Duta. Projek dijangka siap Februari tahun depan,” katanya. - Bernama      

No comments:

Post a Comment