Tuesday, June 15, 2010

Usul Gaza: OIC akan bekerjasama dengan Malaysia



15/06/2010 7:01pm

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul yang diluluskan di Parlimen minggu lepas, mengutuk serangan Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Freedom Flotilla.
Setiausaha Agung OIC, Prof. Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, usul itu sangat penting kerana ia perlu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai komitmen negara-negara Islam besar dunia mengenai perkara ini.
"Kita di OIC bekerja selari dan menghargai kenyataan ini (usul) dan kita akan bekerjasama dengan Malaysia untuk pelaksanaan keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini.
Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Presiden UIAM Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Prof. Ekmeleddin berkata, Malaysia mempunyai tempat dan peranan khas dalam sejarah OIC dan juga kepada perkembangan terkini pertubuhan yang mempunyai 57 negara anggota dan beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi.
"Dan sebab itu suara negara menerusi Parlimen dan resolusi kuat ini...idea dan cadangan dalam resolusi itu sangat penting,” kata beliau.
Usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 7 Jun lepas, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan rejim zionis di bawah kepimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang menyerang Mavi Marmara di perairan antarabangsa pada 31 Mei lepas.
Sambil memberikan sokongan terhadap gesaan masyarakat antarabangsa bagi satu siasatan bebas dan bertanggungjawab terhadap serangan itu, Malaysia juga menyeru negara-negara yang sependapat untuk mebawa resolusi ini ke Majlis Keselamatan itu bagi merujuk rejim zionis tersebut ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ia juga mencadangkan negara-negara sependapat untuk mengemukakan resolusi ini kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan pandangan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). - Bernama

No comments:

Post a Comment