Tuesday, June 15, 2010

Israel tubuh suruhanjaya



BAITULMAQDIS 14 Jun - Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini meluluskan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat tindakan tentera Zionis memintas enam kapal asing yang membawa bantuan dan aktivis pro-Palestin ke Genting Gaza dua minggu lalu.
Suruhanjaya 'awam bebas dan khas' itu akan dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Agung, Jacob Turkel dan dianggotai oleh pakar undang-undang antarabangsa, Shabtai Rosen dan mejar jeneral bersara, Amos Horev, menurut kenyataan kerajaan.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dari Ireland, Lord William David Trimble dan peguam antarabangsa dari Kanada, Ken Watkin akan turut serta dalam sesi keterangan dan perbincangan sebagai pemerhati yang tidak mempunyai hak mengundi.
Suruhanjaya itu juga dibenarkan, atas sebab keselamatan Israel, tidak mendedahkan maklumat tertentu kepada dua pemerhati tersebut, menurut kenyataan kerajaan.
Ia akan mengkaji tindakan tentera memintas 'Flotila Pembebasan' itu serta sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza, dalam konteks undang-undang antarabangsa.
Suruhanjaya itu akan mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri dan Kabinet.
"Memandangkan Suruhanjaya itu perlu menentukan perkara sebenar demi kepentingan umum, pihak penguat kuasa undang-undang tidak akan menggunakan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya sebagai bahan bukti dalam sebarang prosiding undang-undang," menurut kenyataan itu.
Netanyahu berkata, butir-butir Suruhanjaya itu diputuskan dengan kerjasama kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Komando Israel menyerang dan merampas flotila enam kapal bantuan itu pada 31 Mei lalu, menyebabkan sembilan aktivis pro-Palestin terdiri daripada lapan rakyat Turki dan seorang warga AS keturunan Turki terbunuh.
Serangan itu mencetuskan kutukan hebat masyarakat antarabangsa terhadap Israel dan desakan supaya sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu. - DPA

No comments:

Post a Comment