Tuesday, June 15, 2010

Permaisuri Agong lebih tinggi daripada "wanita pertama"



15/06/2010 7:04pm

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kedudukan Raja Permaisuri Agong adalah lebih tinggi daripada ”wanita pertama” kerana kedudukan baginda diberi keutamaan seperti yang termaktub dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, tanggapan bahawa gelaran ”wanita pertama” merujuk kepada Raja Permaisuri Agong adalah tidak tepat.
Katanya, terminologi ”wanita pertama” tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru menyamakan Raja Permaisuri Agong dengan terminologi tersebut adalah tidak tepat sama sekali.
"Sekiranya ada dan diamalkan, ”wanita pertama” di Malaysia mestilah berada di bawah daripada kedudukan Raja Permaisuri Agong,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut; “Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
"Berdasarkan adat, budaya dan amalan protokol di Malaysia, gelaran ”wanita pertama” tidaklah menjadi suatu amalan. Ramai orang berpendapat dalam konteks negara Malaysia, gelaran itu merujuk kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,” kata Najib. - Bernama

No comments:

Post a Comment