Tuesday, July 20, 2010

15,000 mohon lesen Bazar Ramadan



BEBERAPA orang peniaga kecil yang berjaya ditemuduga dalam cabutan undi bagi memohon lesen sementara di tapak Bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Julai - Lebih 15,000 peniaga kecil di sekitar Lembah Klang hari ini membanjiri Stadium Titiwangsa untuk memohon lesen sementara Bazar Ramadan di kawasan Lorong Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimanapun hanya memperuntukkan 400 tapak di lokasi yang menjadi tumpuan warga kota setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Proses pengundian untuk memiliki tapak bazar Ramadan dibuat secara terbuka dan telus serta melibatkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Permohonan bagi mendapatkan tapak Bazar Ramadan di lokasi berkenaan sering kali mendapat permintaan yang tinggi daripada peniaga kecil setiap tahun.
''Namun tempat yang boleh disediakan DBKL adalah terhad," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Raja Nong Chik berkata, dalam proses pengundian itu, terdapat beberapa peniaga yang tidak berpuas hati disebabkan borang permohonan mereka ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
''Kita memahami hasrat peniaga-peniaga kecil ini untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan, namun tempat yang ditawarkan di lokasi itu amat terhad.
''Walaupun menimbulkan sedikit kekecohan namun semuanya terkawal kerana peniaga-peniaga ini memahami keputusan berdasarkan proses pengundian yang adil dan saksama," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Che Norini Che Mat, 62, berkata, dia tiba seawal pukul 8 pagi untuk menghadiri proses pengundian tersebut.
"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat tapak di lokasi tersebut setelah tiga tahun mencuba. Mungkin rezeki berpihak pada Ramadan tahun ini," katanya.
Bagi Zainudin Zakariah, 43, pula, ini kali pertama dia berjaya mendapat tapak berniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India setelah mencuba selama 10 tahun.
"Undian secara terbuka ini bagus kerana ia lebih telus dan semua peniaga yang layak mempunyai peluang. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dan menunggu lama, ia sangat berbaloi," katanya.

No comments:

Post a Comment