Oleh Zaid Ibrahim
Sebagai seorang bekas ahli parti UMNO yang telah lama memberi sumbangan dan khidmat sokongan pada parti tersebut — dan walaupun telah dipecat dan dimaki hamun setiap masa dan ketika — saya berasa kasihan melihat UMNO yang begitu lemah atau ‘pathetic’ dan hilang maruah sejak kebelakangan ini.
Setiap hari mereka meminta belas kasihan PAS untuk menyelamatkan mereka. Mereka tidak berhenti-henti bercakap pasal ‘Selamatkanlah Melayu dan Islam’ sedangkan kita semua tahu maksud yang tersirat ialah ‘Selamatkanlah UMNO yang sudah hilang kepercayaan Rakyat sambil bergelumur dengan masalah dalaman hari ini.’
Yang terakhir sekali, Presiden UMNO meminta PAS bersetuju bertemu tanpa sebarang syarat. Ini menunjukkan betapa terdesaknya parti yang pada suatu masa dahulu disebut oleh Sanusi Junid sebagai parti Melayu Islam yang terbesar di dunia. (Buktinya tidak lain dari bangunan UMNO yang tersegah besar itu yang dibiayi oleh Malayan Banking). Ahli-ahli mereka sudah hilang keyakinan sehingga nak buat mesyuarat pun tak dapat dilakukan dengan sempurna. Mereka juga sendiri tertanya-tanya apakah relevennya parti itu pada zaman sekarang ini.
Mereka tidak mahu menerima hakikatnya bahawa: budaya politik dan perjuangan serta cara mereka itu sudah tidak boleh digunapakai lagi pada masa kini. Mereka percaya dengan menggunakan kekerasan, meningkatkan propaganda, dan menakutkan orang Melayu tentang kehilangan hak dan kedudukan mereka dalam negara jika tiada UMNO, akan menarik kembali sokongan orang Melayu kepada mereka.
Betapa silapnya teori politik mereka.
Ada lima perkara, jika ianya dilaksanakan, mungkin boleh memberi sedikit ruang untuk UMNO dihidupkan kembali dan menyelamatkan parti tersebut di PRU 13:
Pertama, kes terhadap Anwar Ibrahim itu tidak diteruskan; kedua, memansuhkan ISA dan segala kuasa yang menahan orang politik; ketiga, bertindak dengan kata sepakat dan secara terhormat dengan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) tentang dasar-dasar utama ekonomi negara dan pelaksanaannya; keempat, menyerahkan kepada kerajaan Negeri kuasa dan hak mereka yang sah dan wajar; dan terakhir, memberi kebebasan kepada akhbar dan TV supaya berita menjadi sumber maklumat sebenar dan bukan alat dakyah politik.
Sebagai bonus, ketua-ketua UMNO dan yang berjawatan Menteri atau Ketua Menteri yang jelas korup dan sekian lama menyalahgunakan kuasa, diberhentikan serta merta dan digantikan dengan pemimpin yang boleh diterima rakyat.
Ini adalah cara terhormat untuk sebuah parti sebesar itu berubah atau bertindak untuk memberi nafas dan iltizam baru kepada ahli-ahli mereka yang sekarang ini tenat dan bosan dengan keadaan. Ubahlah cara mereka mentadbir negara ini. Bukan dengan setiap hari menangis dan meminta supaya PAS menyelamatkan mereka.
Walaubagaimanapun, saya juga yakin bahawa semua cadangan cadangan ini tidak akan dilaksanakan.
Orang yang dalam ketakutan selalunya tidak dapat berfikir dengan wajar dan inilah keadaan sebenar Parti Keramat ini.
Biarlah si lunchai lompat dengan labu-labunya.
No comments:
Post a Comment