KUALA LUMPUR 19 Julai - UMNO dan Pas disaran berdialog dalam suasana penuh ikhlas dengan hati terbuka demi memastikan Melayu tidak hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Para ulama di negara ini berpendapat, cara berdialog sahaja dapat menghapuskan persengketaan antara dua parti terbesar orang Melayu itu.
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, menerusi dialog juga boleh memberi peluang kepada UMNO menjelaskan secara konkrit mengenai dasarnya yang selama ini dituduh sebagai parti sekular.
Beliau berkata, realitinya UMNO selama ini mendokong Perlembagaan yang mendaulatkan Islam termasuk memperuntukkan kewangan yang banyak untuk pendidikan agama, ekonomi umat dan juga kewangan Islam.
"Isu-isu seperti ini antara yang harus dibincangkan supaya rakyat tidak lagi keliru dengan persoalan pihak mana yang lebih Islam dan tidak Islam sedangkan umat Islam mengucap dua kalimah syahadah, ibadah yang sama dan tidak mengamalkan fahaman sekular," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu boleh hilang kuasa sekiranya UMNO dan Pas enggan bersatu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan Harussani itu harus dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih mengutamakan perpaduan.
Ismail berkata, menerusi dialog akan dapat memberi kefahaman jelas kepada orang Melayu tentang Islam, makna Islam, perjuangan Islam dan sebagainya.
"Apabila hal-hal ini diselesaikan maka orang Melayu beragama Islam ini akan menjadi orang yang terbuka mentalitinya dan tidak lagi taksub dengan individu tertentu dalam politik negara ini," katanya.
Pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz berkata, hanya dengan perbincangan sahaja dapat menghuraikan segala permasalahan antara kedua-dua belah pihak ini.
"Ketepikan dahulu fahaman parti masing-masing sebaliknya gunakan peluang ini sebagai jalan terbaik untuk mengukuhkan perpaduan ummah supaya Melayu dan Islam terus berkuasa di negara ini," katanya.
Abu Hassan menyarankan UMNO dan Pas perlu mengambil iktibar sejarah puak Aus dan Khazraj di Madinah yang telah bersengketa selama berpuluh tahun tetapi akhirnya kembali bersatu demi perpaduan ummah.
"Jika umat Islam bersatu maka mana-mana pihak yang mahu melihat umat ini saling bertelagah tidak akan berjaya," katanya.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut pula mahukan orang Melayu bersatu dengan mengambil falsafah bahawa seekor harimau itu digeruni hanya kerana kelebihan taring dan belangnya.
"Begitu juga dengan orang Melayu maka perlu bersatu supaya Islam ini terus digeruni oleh bangsa lain," katanya.
Nooh berkata, Islam juga menyarankan umatnya tidak berpecah belah kerana kelemahan ini akan digunakan oleh musuh untuk memusnahkan perpaduan yang disemai selama ini dengan mudah.
No comments:
Post a Comment