Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu siapa yang perlu dipilih menjadi perantara merealisasikan kerjasama itu kerana dasar yang dibawa UMNO yang tidak akan diterima oleh Pas.
Menurutnya, apa yang diperjelaskan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah jelas bahawa UMNO dan Pas tidak mungkin akan menjalin kerjasama dan sebagai Mufti bukanlah bidang kuasa Harussani untuk mencampuri isu politik antara Pas dan UMNO.
“Sebelum ini mereka kata, Nik Abdul Aziz sedia bekerjasama dengan UMNO, sedangkan apa yang beliau maksudkan adalah berhubung kerjasama dulu hala antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.
“Perkara ini tidak akan berlaku sama sekali. Pas tetap dengan pendirian ini (menolak kerjasama dengan UMNO) biarpun sesiapa sahaja menjadi perantara,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.
Kelmarin, Harussani menyatakan kesediaan menjadi perantara bagi pertemuan pemimpin Pas dan UMNO demi perpaduan umat Islam walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murninya itu.
Beliau berkata, masih ada harapan ke arah perpaduan orang Melayu jika bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini . Bagaimanapun katanya, beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara berkenaan bagi kedua-dua belah pihak.
Harussani menjelaskan setakat perbezaan pendapat, ia adalah rahmat kerana perbezaan itu boleh membawa kepada kemajuan.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga menegasakan kerjasama antara dua parti itu tidak akan berlaku sama sekali.
“Pas tidak berminat dalam isu ini. Biarlah ada pihak lain mahu Pas berbaik dengan UMNO. Namun, keputusan tersebut adalah muktamad,” katanya.
No comments:
Post a Comment