Tangani buang bayi tanggungjawab semua - Jamil Khir
PUTRAJAYA 16 Ogos - Jenayah pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masalah tersebut tidak sewajarnya diletakkan semata-mata ke atas badan berkuasa agama kerana banyak faktor yang menyumbang kepada perbuatan terkutuk itu termasuk pengabaian pendidikan agama dan pengetahuan reproduksi.
''Saya selalu sebutkan apabila melihat masalah buang anak, jangan lihat ia sebagai perkara yang memerlukan agensi dan badan tertentu.
''Bagi kes zina, semua orang kena rasa bertanggungjawab, bermula dari peringkat rumahtangga, ibu bapa, pendidikan di sekolah dan selepas waktu sekolah, jadi ini adalah proses holistik untuk masyarakat menanganinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan konvoi berkereta dan bermotosikal program Jelajah Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 1Malaysia 2010 di Masjid Putra di sini hari ini.
Program jelajah seluruh Semenanjung itu yang akan berakhir di Masjid Kampung Baru pada 30 Ogos ini adalah bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 tahun ini.
Hadir sama Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir
Beliau ditanya mengenai penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi dan saban hari menjadi paparan media massa sejak kebelakangan ini.
Menurut Jamil Khir, tindakan terhadap mereka yang membuang bayi adalah tertakluk kepada undang-undang sivil dan bukannya syariah kerana ia melibatkan masalah penderaan kanak-kanak dan pembunuhan.
''Dalam pendekatan hukuman mahkamah syariah, ia lebih bersifat kalau ada berlaku penzinaan, sumbang mahram dan bersekedudukan tanpa nikah.
''Dari segi hukumannya kita akan berusaha untuk tingkatkannya dari semasa ke semasa," katanya.
Ditanya apakah pendekatan dakwah bagi menangani masalah itu, beliau berkata, usaha itu dilakukan secara berterusan oleh agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan-jabatan agama negeri (JAIN), Yadim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui siaran radionya.
Jelas beliau, program Jelajah Sahabat Yadim 1Malaysia 2010 melibatkan 208 peserta dengan menaiki 61 buah kenderaan selama 16 hari sepanjang Ramadan juga merupakan salah satu bentuk dakwah.
''Sepanjang jelajah itu, para peserta akan melakukan aktiviti bersama penduduk setempat di lokasi yang mereka singgah seperti memasak bubur lambuk dan berbuka puasa selain melawat rumah-rumah kebajikan dan perlindungan warga emas serta pondok pengajian," katanya.
No comments:
Post a Comment